AM

KEMUDAHAN FASILITI SUKAN, RIADAH ANTARA FOKUS AWI DI NENGGIRI

05/08/2024 02:39 PM

GUA MUSANG, 5 Ogos (Bernama) -- Pembinaan fasiliti sukan dan tempat riadah bagi anak muda, antara fokus calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani jika dipilih dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri. 

Anak jati Gua Musang itu yang lebih mesra disapa sebagai Awi berkata pihaknya akan berusaha mewujudkan fasiliti sukan dan riadah yang bersesuaian dengan citarasa anak muda bagi menghilangkan tekanan atau ‘healing’. 

“Kalau dibenarkan itu yang saya akan perjuangkan. Kita faham keadaan hari ni tempat ‘healing’ untuk mereka agak terhad, jadi di kawasan Nenggiri khasnya kita kena usahakan,” katanya kepada pemberita ketika berkempen di Bertam Baru, di sini hari ini. 

Pada PRK berkenaan, Mohd Azmawi Fikri berdepan pertandingan satu lawan satu menentang calon PAS Mohd Rizwadi Ismail.

Melihat kesesuaian kawasan setempat, beliau berkata padang bola dan taman permainan kanak-kanak dengan prasarana yang lengkap menjadi keperluan dan akan diperjuangkan. 

“Bergantung keperluan, ada yang nak main takraw, ada yang nak sukan lain, tapi semestinya kita perlu wujudkan setiap komuniti itu ada satu tempat seperti negeri lain, sebagai contoh setiap negeri ada dewan komuniti anak muda atau dewan orang ramai yang lengkap.

“Dekat sini kurang dan tak sampai tahap yang kita tengok di negeri lain,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata antara fokus lain yang akan turut diberi tumpuan termasuk dari segi pembangunan modal insan melibatkan penduduk.

Hal itu katanya merupakan perkara asas yang perlu diteliti terlebih dahulu agar tidak menimbulkan sebarang permasalahan dalam masyarakat

Ditanya fokus Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam PRK Nenggiri, Awi yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan berkata beliau akan turun berkempen di semua kawasan DUN tersebut bagi menawan hati pengundi. 

“Saya turun selepas penamaan calon pada dua hari lepas, saya perlu berpijak di bumi yang nyata. Saya sebelum ini negatif 810 sebab sebelum ini BN tewas di sini, jadi semua PDM kita kena fokus tanpa tertinggal satu pun,” katanya. 

PRK itu diadakan susulan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos, manakala hari mengundi awal pada 13 Ogos tidak diadakan, selepas kesemua 14 pengundi terlibat memilih mengundi secara pos susulan keperluan mereka bertugas sepanjang tempoh kempen.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan