AM

MOHD ZUKI INDIVIDU PENTING PASTIKAN DASAR KERAJAAN DILAKSANA DENGAN BERKESAN - ZAHID

05/08/2024 01:41 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali sebagai individu yang memainkan peranan amat signifikan dalam memastikan dasar-dasar kerajaan dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

Beliau berkata Mohd Zuki juga merupakan individu yang banyak menyumbang kepada pembangunan dan kejayaan dalam pentadbiran negara.

“Semoga beliau terus berjaya dalam apa jua bidang yang akan diceburi selepas ini. Insya-Allah," katanya dalam hantaran di laman Facebook, selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata perhimpunan bulanan kali ini juga membawa makna yang lebih mendalam kerana ia juga merupakan perhimpunan bulanan terakhir bagi Mohd Zuki sebagai KSN.

Mohd Zuki, 62, dilantik sebagai KSN sejak 31 Dis 2019 dan dilantik semula memegang jawatan itu secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa dari 11 Ogos 2022 hingga 10 Ogos 2024.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura pernah berkhidmat di beberapa kementerian seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Mohd Zuki juga pernah bertugas di Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri, serta pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan