JENAYAH & MAHKAMAH

SURI RUMAH RUGI LEBIH RM140,000 DITIPU PELABURAN TIDAK WUJUD

05/08/2024 05:51 PM

KUANTAN, 5 Ogos (Bernama) -- Seorang suri rumah kerugian RM144,750 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berusia 44 tahun dari Jerantut itu dilaporkan tertarik menyertai pelaburan dikenali sebagai ASNB Investment Trusted di aplikasi telegram pada 21 Julai lepas dan mula melabur RM1,000.

Beliau berkata mangsa kononnya memperoleh pulangan RM30,000 dalam masa singkat sebelum suspek mengarahkan wanita itu membuat bayaran wang proses untuk menebus hasil pelaburan. 

Yahaya berkata mangsa kemudian memasukkan wang keseluruhan berjumlah RM144,750 menerusi 21 transaksi ke dalam 13 akaun bank antara 21 Julai hingga 3 Ogos lepas.

“Mangsa mula menyedari ditipu setelah gagal mengeluarkan wang keuntungan pelaburan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan