AM

BERNAMA, MPI JALIN KERJASAMA TEROKA DAN PERKASA BIDANG LATIHAN, KURSUS KEWARTAWANAN

05/08/2024 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Institut Akhbar Malaysia (MPI) mencapai kata sepakat untuk meneroka jalinan kerjasama strategik dalam bidang latihan serta kursus kewartawanan bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bernama Nur-ul Afida Kamaludin berkata menerusi kerjasama itu, terdapat beberapa kursus dan latihan khusus berkaitan kewartawanan yang berpotensi untuk diperkasa serta diketengahkan termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Kita telah sepakat menjalinkan kerjasama untuk mengadakan kursus-kursus yang kita boleh tawarkan kepada pelajar peringkat diploma yang berminat mendalami dan mengetahui dengan lebih mendalam tentang dunia kewartawanan.

“Berbekalkan kepakaran tenaga pengajar di MPI dan juga tenaga serta bakat di Bernama, kami lihat ada peluang untuk meneroka kerjasama sedemikian… ini akan kita bincang lebih lanjut dan diharap dapat dilaksanakan pada masa hadapan,” katanya selepas pertemuan dengan pihak MPI di Wisma Bernama hari ini.

Pada pertemuan itu, MPI diwakili Presidennya Datuk Yong Soo Heong dan CEO institut berkenaan Datuk Mustapa Omar serta beberapa pegawai manakala Bernama antara lain disertai Ketua Pengarangnya Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus.

Mengulas lanjut, Nur-ul Afida berkata dalam bidang kewartawanan, penggunaan dan keperluan teknologi AI adalah berbeza mengikut peringkat, justeru latihan serta kursus yang ditawarkan mestilah lebih tertumpu dan tidak lagi pada tahap asas semata-mata.

Beliau berkata selaras dengan peranan Bernama sebagai agensi berita negara, nilai dan etika kewartawanan juga akan diterapkan sebagai antara pengisian kursus serta latihan yang ditawarkan.

Yong pula berkata MPI amat optimis bahawa gabungan kemampuan serta kepakaran institut itu dan Bernama mampu menawarkan latihan serta kursus yang berkualiti kepada bakat muda dan wartawan sedia ada.

Beliau berkata bagi melahirkan bakat baharu kewartawanan serta memperkasakan wartawan sedia ada, adalah penting bagi MPI, sebagai institusi latihan dan kursus, sentiasa meneroka kerjasama strategik dalam menawarkan modul latihan yang sesuai dengan keperluan industri yang semakin mencabar serta berkembang.

“Teknologi AI misalnya, ia penting bagi membantu wartawan dalam produktiviti dan penghasilan berita namun elemen manusia tetap menjadi asas serta keperluan seperti kemahiran dan etika penulisan berita.

“Sehubungan itu, adalah penting bagi MPI untuk meneroka kerjasama khususnya dengan Bernama bagi menawarkan latihan yang relevan dengan keperluan industri,” katanya.

 -- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan