AM

KONVOI KMJG 2024 EDAR 6,500 JALUR GEMILANG DI PULAU PINANG

05/08/2024 09:30 PM

KEPALA BATAS, 5 Ogos (Bernama) -- Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 akan mengedarkan sebanyak 6,500 Jalur Gemilang semasa berada di Pulau Pinang bermula hari ini. 

Pengarah Penerangan Pulau Pinang Hasmiza Hussin konvoi itu singgah selama dua hari dan akan membuat persinggahan di tiga daerah di iaitu Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) serta Seberang Perai Selatan (SPS).

"Kita akan edarkan Jalur Gemilang kepada orang ramai, Komuniti MADANI dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Bukan hanya KMJG akan edar Jalur Gemilang, Jabatan Penerangan Negeri juga akan edar kepada orang ramai sepanjang Bulan Kebangsaan supaya rakyat dapat bersama-sama mengibarkannya dan kita jangka sebanyak 10,000 Jalur Gemilang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hasmiza berkata demikian pada majlis menyambut ketibaan konvoi KMJG 2024 peringkat Pulau Pinang di Pangkalan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Udara di Bertam di sini dan dirasmikan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Pejabat Daerah SPU Mohd Abdul Rahman Ismail.

Beliau turut menyeru rakyat Pulau Pinang menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dengan menghiasi setiap premis dengan Jalur Gemilang serta mengamalkan nilai murni, bekerjasama dan bertoleransi serta mendukung segala inisiatif kerajaan serta amalan menyebarkan berita benar dan sahih.

"Gejala menyebarkan berita palsu atau tidak benar terutama menerusi media sosial juga harus dikawal dan dibendung sebelum ia menjadi satu amalan yang boleh memporak-perandakan kesejahteraan masyarakat.

"Jadi, gunakan media sosial secara berhemah untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan ucapan yang baik kepada masyarakat," katanya.

Sementara itu, Mohd Abdul Rahman dalam ucapannya berkata tidak kira di mana dan bagaimana menyambut Hari Kebangsaan, namun paling penting ialah semangat patriotisme yang ditunjukkan mampu  menjadikan generasi muda sentiasa rasa bersyukur.

Beliau berkata semangat itu perlu sentiasa dibajai dalam jiwa semua generasi muda yang menjadi pewaris negara supaya mereka sentiasa menunjukkan taat setia kepada tanah air.

"Marilah kita semua terus berusaha menyemai rasa cinta pada negara dalam segenap lapisan masyarakat. Bersama-sama kita menterjemahkan melalui kibaran Jalur Gemilang di sepanjang Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia," katanya.

KMJG 2024 Pulau Pinang itu disertai kira-kira 25 kenderaan pelbagai jenis dan 18 buah motosikal daripada Kelab Suzuki V-Strom.

Esok konvoi KMJG 2024 akan bermula di Dewan Permatang Pasir sebelum ke Pasar Awam Penanti dan seterusnya Pasar Awam Bukit Mertajam serta ke Masjid Daerah SPT di Perda, Bukit Mertajam.

Konvoi KMJG 2024 akan meneruskan perjalanan ke daerah SPS dengan ke SMK Sungai Acheh sebelum  bergerak ke Masjid Al-Amin, Simpang Tiga dan selepas itu bergerak ke SMK Teluk Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar di Perak. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan