EKONOMI

KWAP PERUNTUK RM20 BILION UNTUK PERALIHAN ASET

06/08/2024 01:29 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) telah mengukuhkan komitmennya terhadap pelaburan mampan dengan meningkatkan tumpuannya terhadap aset peralihan menerusi peruntukan sebanyak RM20 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menyokong kedua-dua pendekatan komuniti dan strategi pelaburan di KWAP.

Beliau berkata KWAP komited untuk memperjuangkan prinsip ESG dengan sasaran yang jelas termasuk pelaburan besar dalam projek tenaga boleh baharu, infrastruktur mampan dan teknologi bersih yang inovatif.

"Matlamat kami adalah untuk memacu perubahan bermakna dalam peralihan kepada ekonomi yang mampan, pada masa sama memastikan pulangan kukuh untuk pemegang kepentingan kami.

"Selain pelaburan, kami juga melaksanakan program kemampanan komprehensif dalam organisasi kami seperti mengurangkan jejak karbon dan menggalakkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan pekerja dan pihak berkepentingan kami," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Persidangan KWAP Inspire 2024 hari ini.

Nik Amlizan berkata sebagai dana pencen terbesar di Malaysia untuk pesara penjawat awam, KWAP dipertanggungjawabkan untuk menjana pulangan jangka panjang yang optimum, mampan dan risiko terlaras untuk badan berkanun tersebut.

Mencari peluang untuk melabur secara aktif dalam syarikat dan projek yang sejajar dengan tema tertentu, beliau berkata KWAP menyasarkan untuk memberikan kesan sosial dan alam sekitar yang ketara serta menghasilkan pulangan kewangan.

Persidangan itu bertemakan ‘Advancing Circular Transformation for a Climate-Smart Malaysia’ menghimpunkan pemegang kepentingan utama dari sektor awam, industri kewangan dan pakar kemampanan untuk meneroka strategi bagi membina masa depan yang selamat, saksama, inklusif dan mampan untuk semua rakyat Malaysia dengan tumpuan kepada ekonomi kitaran.

Selain itu, KWAP memperkenalkan Laporan Kelestarian 2023 yang pertama pada persidangan itu.

Laporan itu menggariskan komitmen KWAP untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam kemampanan melalui lima ikrar utama: memperjuangkan agenda sosial, memperkasakan perkongsian untuk tindakan kolektif, mencapai portfolio bersih-sifar menjelang 2050, meningkatkan pelaburan dalam aset peralihan kepada RM20 bilion menjelang 2030, dan mempertingkatkan tadbir urus kemampanan.

"Komitmen ini mencerminkan kepercayaan kami bahawa kejayaan kewangan dan kemajuan masyarakat dikaitkan secara intrinsik.

"Melangkah ke hadapan, KWAP akan terus memimpin melalui teladan, menunjukkan bahawa pelaburan bertanggungjawab bukan sahaja beretika tetapi juga berhemat dari segi ekonomi dalam landskap global kita yang berkembang pesat," tambahnya.

Sementara itu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam ucapannya mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan sedang menerajui inisiatif utama melibatkan KWAP dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan lain termasuk Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera. .

"Program ini bertujuan untuk memanfaatkan kekuatan kolektif dan kapasiti pelaburan pelabur institusi utama negara bagi mencapai aspirasi Ekonomi MADANI untuk membangunkan Malaysia," katanya.

Menurut beliau, kerjasama itu akan meningkatkan momentum, mengurangkan pertindihan dan pembaziran sumber dan akhirnya mengukuhkan kesan ke atas hasil yang disasarkan.

"Kami tidak mampu untuk menangguhkan tindakan kami kerana potensi kerugian mungkin berjumlah hampir 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2050.

"Perjalanan pada masa depan tidak mudah tetapi masa depan yang mampan untuk Malaysia adalah berbaloi dengan keputusan sukar yang mesti diambil sekarang," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan