EKONOMI

SEGMEN TAKAFUL KELUARGA, BUKAN HAYAT DIJANGKA TUMBUH PERLAHAN TAHUN INI - RAM RATINGS

06/08/2024 02:00 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- RAM Ratings Services Bhd menjangkakan pertumbuhan yang lebih perlahan dalam segmen takaful hayat dan keluarga serta segmen bukan hayat pada 2024 disebabkan oleh tekanan inflasi, tetapi secara keseluruhannya sektor itu berkemampuan untuk menyerap sedikit pemampatan margin dan potensi kejutan.

Ketua Bersama Penarafan Institusi Kewangan RAM Sophia Lee berkata perniagaan baharu dalam segmen hayat dijangka berkembang antara 3.5 peratus hingga 4.0 peratus tahun ke tahun berbanding 4.2 peratus kerana pengguna semakin bimbang mengenai kenaikan kos dan tuntutan perubatan yang meningkat.

“Kenaikan tuntutan perubatan telah menekan pendapatan penanggung insurans hayat dan pengendali takaful keluarga, mencetuskan langkah penetapan harga semula yang boleh mempengaruhi kesan kepada kemampuan.

"Bagi menggalakkan penggunaan penjagaan kesihatan yang lebih bertanggungjawab, BNM kini mewajibkan semua penanggung insurans dan pengendali takaful untuk memasukkan peruntukan perkongsian kos dalam produk perubatan dan kesihatan individu baharu," katanya dalam satu kenyataan.

Mengenai premium insurans am dan takaful, segmen itu dijangka berkembang pada kadar yang lebih perlahan iaitu lima peratus tahun ini berbanding 9.4 peratus tahun lepas kerana jualan kereta dijangka berkurangan.

"Margin berada pada tahap paling kecil dalam satu dekad dan akan kekal tertekan di tengah-tengah persaingan yang sengit," tambahnya.

Lee juga menegaskan ketidaktentuan pasaran kewangan akan terus menjadi faktor utama yang mempengaruhi pulangan bagi pengendali insurans dan takaful, terutamanya dalam segmen hayat/takaful keluarga memandangkan aset pelaburan yang dipegang adalah besar.

"Pulangan pelaburan yang lebih baik telah meningkatkan pendapatan sektor pada 2023 berikutan kerugian besar yang dilihat pada tahun sebelumnya.

"Kami menjangkakan takaful keluarga akan terus menyumbang antara 40 peratus hingga 50 peratus daripada premium perniagaan baharu terutamanya apabila sektor perbankan Islam terus mengatasi rakan konvensionalnya selaras dengan strategi utamakan Islam (Islamic-first) yang diterima pakai oleh pelbagai bank," katanya.

Walaupun penjanaan perniagaan baharu yang lebih lemah pada 2023, takaful keluarga menyumbang 42 peratus daripada jumlah premium/caruman perniagaan baharu, melebihi anggaran 30 peratus yang dicatatkan sedekad lalu.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan