AM

EKSPO, PERSIDANGAN GLOBAL BORNEOCRAFT DI KUCHING, 27 NOV

06/08/2024 05:52 PM

KUCHING, 6 Ogos (Bernama) -- Majlis Kraftangan Sarawak (SCC) akan menganjurkan Ekspo dan Persidangan Global BorneoCraft 2024 (BCG2024) bermula 27 Nov hingga 1 Dis ini di Kuching Waterfront.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ekspo dan persidangan itu menyediakan peluang unik untuk mempamerkan bakat dan kemahiran istimewa negeri kepada dunia.

“Acara itu berpotensi menjadikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan utama, menarik pengunjung dari dekat dan jauh yang mahu merasai sendiri kekayaan warisan budaya kita dan menyaksikan kemahiran dan kreativiti artisan kita secara langsung,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata acara itu bukan sahaja membawa faedah ekonomi kepada Sarawak, iaitu penduduk boleh memanfaatkan platform e-dagang dan strategi pemasaran digital untuk mencapai pasaran global bagi kraf mereka, tetapi juga membantu memupuk penghargaan yang lebih besar kepada penggiat kraf dan tradisi tempatan.

Sementara itu, menurut kenyataan SCC, antara yang akan diketengahkan pada acara berkenaan termasuk persidangan dan pelbagai bengkel eksklusif untuk peserta, Cabaran MasterCraft dan pameran merangkap pasar terbuka kepada orang awam.

Maklumat lanjut mengenai BCG2024 boleh diperolehi melalui laman web www.borneocraftglobal.com atau hubungi urusetia di talian 082-555 189.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan