JENAYAH & MAHKAMAH

INDIVIDU CEROBOH LANDASAN KERETA API DI TANAH MERAH, KTMB TIDAK KOMPROMI

06/08/2024 04:27 PM

KOTA BHARU, 6 Ogos (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tidak akan berkompromi terhadap individu yang menceroboh landasan kereta api dan tindakan itu boleh dikenakan denda RM500.

Ketua Pegawai Operasi KTMB Mohd Zain Mat Taha berkata mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 semua kawasan landasan merupakan kawasan larangan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 126 akta berkenaan. 

Beliau berkata masyarakat diminta agar tidak menceroboh termasuk mengambil gambar di mana-mana landasan kereta api memandangkan perbuatan itu berbahaya sekali gus dikira menceroboh.

“KTMB tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didapati melanggar peraturan ini. Kami menyeru orang ramai untuk sentiasa mematuhi peraturan keselamatan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. 

“Keselamatan adalah keutamaan KTMB dan kami berharap agar pencerobohan landasan kereta api tidak berulang lagi di masa hadapan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada Ahad lepas, tular di laman Facebook serta media sosial lain sepasang pengantin mengambil gambar di Jambatan Guillemard di Tanah Merah. 

Menerusi video berdurasi seminit 26 saat itu kelihatan seorang jurugambar lelaki sedang berlari dari landasan berkenaan, manakala pasangan pengantin tersebut hanya berjalan dengan santai untuk beredar dari landasan walaupun dihon oleh pemandu kereta api.

-- BERNAMA


 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan