AM

PEMILIK KAFE BELANJA KOPI SEMPENA KEJAYAAN ZII JIA RAIH PINGAT

06/08/2024 08:19 PM

ALOR SETAR, 6 Ogos (Bernama) -- Keterujaan menyaksikan kejayaan anak jati Kedah pertama meraih pingat pada Sukan Olimpik 2024, membuatkan seorang pemilik kafe di sini memberikan kopi secara percuma kepada pelanggannya, hari ini.

Pengarah Urusan Encomas Sdn Bhd dan Caffe Diem Datuk Rick Cheng Wooi Seong berkata beliau sangat berbangga dengan pencapaian pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, yang berjaya meraih pingat gangsa selepas menewaskan pemain India Lakshya Sen.

“Sebenarnya ini bukan kali pertama kami memberikan kopi secara percuma kepada pelanggan. Sebelum ini semasa pasukan bola sepak Kedah menang pun, kita ada juga bagi kopi percuma tetapi sambutan tidak seperti hari ini dan saya sangat terkejut melihat respons orang ramai.

“Mungkin sambutan kali ini lagi meriah sebab yang memenangi pingat itu anak Kedah. Kami buka kedai pada pukul 12 tengah hari tetapi ada yang sudah beratur lebih awal lagi dan mereka sanggup beratur lama, jadi terima kasih saya ucapkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kafenya di sini, hari ini.

Beliau berkata pelanggan boleh datang mendapatkan kopi percuma sehingga pukul 12 tengah malam ini, dan pelanggan boleh memilih dua jenis kopi yang ditawarkan oleh pihaknya.

“Kita jangka lebih 500 cawan kopi percuma diberikan hari ini. Saya tidak pasti Zii Jia tahu atau tidak mengenai pemberian kopi percuma ini, mungkin keluarga dia tahu dan maklumkan pada dia.

“Tahniah kepada Zii Jia dan keluarganya. Kalau pulang ke Alor Setar nanti datanglah ke kafe. Mereka boleh makan dan minum secara percuma,” katanya.

Zii Jia pemain ranking ketujuh dunia, meraih pingat gangsa menerusi aksi cemerlang menentang Lakshya Sen dari India, selepas bangkit daripada ketinggalan satu set dan menang 13-21, 21-16, 21-11 pada aksi penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena, Paris, semalam.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan