AM

KPKT LANCAR PERANCANGAN EKONOMI KITARAN, MAJUKAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL

06/08/2024 07:27 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini melancarkan Pelan Tindakan Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal di Malaysia (2025-2035) untuk memberi panduan kepada pemegang taruh menginstitusikan transformasi ke arah pembangunan ekonomi kitaran.     

Menterinya Nga Kor Ming berkata pelan tindakan itu akan mempercepatkan peralihan kepada ekonomi kitaran sisa pepejal menerusi lima paksi utama iaitu tadbir urus dan perundangan, garis panduan dan prosedur, digitalisasi dan teknologi, infrastruktur dan kemudahan, serta pewujudan pasaran.

"Kerajaan akan melaksanakan pendekatan komprehensif dan menggubal undang-undang ekonomi kitaran, termasuk pelaksanaan Prosedur Tanggungjawab Tambahan yang boleh menjadi pemangkin penting kepada ekonomi kitaran bagi pengurusan sisa pepejal yang mampan.

"Pelan Tindakan itu juga bertujuan memperkenalkan 'Sisa Sifar kepada Persijilan Tapak Pembuangan’ dalam pengurusan sisa pepejal, yang mengiktiraf usaha pekilang meningkatkan kecekapan sumber mereka, dan meminimumkan penghasilan sisa, sekali gus boleh digunakan sebagai langkah untuk menentukan kelayakan pengeluar untuk mendapatkan insentif berkaitan ekonomi kitaran," katanya dalam ucaptama di majlis pelancaran pelan tindakan berkenaan di sini hari ini.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran Persidangan Ekonomi Kitaran 2024: Membina Masa Hadapan Mampan, yang merupakan perhimpunan 400 pemegang taruh daripada agensi kerajaan, pemimpin industri, badan bukan kerajaan dan ahli akademik; khusus untuk berkongsi pengetahuan, perspektif dan pengalaman dalam memajukan ekonomi kitaran, dengan tumpuan utama kepada sektor pengurusan sisa pepejal.   

Nga berkata industri pengurusan sisa pepejal telah disyor untuk mewujudkan Persatuan Ekonomi Kitaran Nasional (NCEA) untuk menjadi platform bagi menyelaras, merancang dan memacu inisiatif ekonomi kitaran yang kebih komprehensif di Malaysia. 

Beliau berkata sekiranya ia diwujudkan, NCES akan bekerjasama erat dengan Majlis Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal (NCEC) di peringkat kebangsaan, dan memainkan peranan penting dalam memajukan industri kitar semula dan sisa pepejal. 

Sementara itu Nga berkata kerajaan menyasarkan untuk mencapai Kadar Kitar Semula Kebangsaan 40 peratus menjelang 2025.

Beliau berkata KPKT akan mengadakan pertemuan dengan peruncit utama negara termasuk syarikat seperti 7-11, 99 Speedmart dan Mynews.com untuk membincangkan lebih lanjut mengenai perkara itu.  

Nga berkata Kadar Kitar Semula Kebangsaan kini mencatat angka berganda, dengan mencapai 35.38 peratus berbanding 15.7 peratus pada 2015.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan