AM

KERAJAAN LIHAT KEPERLUAN PANJANGKAN TEMPOH PROJEK RINTIS DASAR GAJI PROGRESIF - RAFIZI

06/08/2024 09:21 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan melihat keperluan memanjangkan tempoh projek rintis Dasar Gaji Progresif (DGP) daripada 12 bulan kepada 24 bulan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata ini supaya majikan mendapat manfaat daripada produktiviti dan pekerja yang berkemahiran menerusi program itu.

"Projek rintis ini adalah untuk kita tengok bagaimana sistem ini beroperasi serta maklum balas yang kita boleh dapat. 

"Kita mahu memastikan keluk pembelajaran yang kita letakkan dalam pendekatan ini dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin," katanya dalam sesi dialog awam Dasar Gaji Progresif di sini, hari ini.

Sebanyak RM50 juta disediakan bagi pelaksanaan projek rintis DGP bermula Jun lepas termasuk pembayaran insentif kepada 1,000 majikan.

Pembayaran insentif kepada majikan dijangka pada Oktober depan apabila majikan mengemukakan tuntutan yang memenuhi syarat ditetapkan.

Dalam pada itu, Rafizi berkata majikan tidak sepatutnya melihat Dasar Gaji Progresif sebagai menambah beban kos kepada mereka.

Beliau berkata dasar itu bertujuan mempercepatkan peningkatan kemahiran pekerja dalam perusahaan kecil dan sederhana.

“Mereka (pekerja berkemahiran) akan dapat mengendalikan perkara yang rumit untuk mencipta nilai (kepada syarikat)," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan