AM

MAIPK SERAH BANTUAN KEBAJIKAN SISWA IPT RM360,000

07/08/2024 01:33 PM

IPOH, 7 Ogos (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menyerahkan bantuan berjumlah RM360,000 kepada lapan institusi pendidikan di negeri Perak di bawah Skim Bantuan Kebajikan Siswa Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk Syamsul Hazeman Md Salleh berkata sumbangan itu adalah untuk membantu golongan pelajar asnaf, fakir miskin dan B40 yang terkesan akibat peningkatan kos sara hidup.

“Lapan institusi pendidikan yang menyumbang kepada pungutan zakat dan mempunyai Jawatankuasa Tabung Amanah Zakat yang menerima manfaat skim ini ialah Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar. 

“Selain itu, UiTM Tapah, Politeknik Ungku Omar (PUO), Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Kuala Lumpur RCMP (UniKL RCMP) turut menerima manfaat berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya sentiasa komited menjalinkan kerjasama strategik menerusi skim-skim bantuan yang disediakan demi membantu meringankan beban asnaf bagi menjamin kesejahteraan ummah.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan