POLITIK

PRK NENGGIRI: KEMPEN TIDAK TERBATAS SECARA FIZIKAL

07/08/2024 04:10 PM

GUA MUSANG, 7 Ogos (Bernama) -- Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri tidak hanya terbatas secara fizikal, malah turut dilakukan melalui media sosial secara meluas.

Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata penggunaan media sosial banyak membantunya dalam mendekati pengundi, terutamanya golongan muda kerana DUN berkenaan berkeluasan hampir sama dua negeri Melaka.

Malah, Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu berkata gerak kerjanya sebagai ahli politik melalui media sosial telah dimulakannya sejak 2018 lagi, enam tahun sebelum penamaan calon PRK DUN itu.

“Saya sebenarnya dah aktif dalam media sosial sejak 2018 lagi dan kebanyakan pengundi muda di sini tahu kerja saya.

“Pengundi muda di sini sebanyak  61 peratus dan ia (media sosial) cukup membantu dalam gerak kerja bagi memastikan saya mendapat undi anak muda,” katanya kepada pemberita selepas bersama Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika beramah mesra dengan pengundi Jeram Tekoh di sini hari ini. 

PRK itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Azmawi Fikri mewakili Kerajaan Perpaduan dan wakil Perikatan Nasional (PN) Mohd Rizwadi Ismail yang bertanding menggunakan logo PAS.

Mengulas mengenai kempen yang masuk hari kelima hari ini, beliau berkata setakat ini dia telah menyantuni pengundi di kesemua 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) Nenggiri.

“Pusingan pertama sudah selesai sebab saya diumumkan sebagai calon lebih awal, itu kelebihan pada saya untuk bergerak lebih awal. Kerja saya adalah berjumpa dengan seramai mungkin pengundi.

“Setakat ini saya dah pergi ke semua PDM, sekarang masa untuk pusingan kedua dan ketiga,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos, manakala hari mengundi awal pada 13 Ogos tidak akan diadakan selepas kesemua 14 pengundi terlibat memilih mengundi secara pos susulan keperluan mereka bertugas sepanjang tempoh kempen.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan