AM

PERISAI PANTHERA SIAP SIAGA HADAPI SITUASI LUAR JANGKA

07/08/2024 05:02 PM

SEPANG, 7 Ogos (Bernama) -- ‘Kami dari pasukan perubatan, siapa boleh berjalan, datang ke arah kami.

Itu antara laungan berulang dari anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada kesemua 139 'mangsa' bencana udara Sawadi Airlines yang menunggu bantuan kecemasan selepas terlibat dalam 'nahas kapal terbang' di kawasan kolam pengimbang utara berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini.

Di kawasan nahas, kelihatan api yang bermula dari ekor kapal terbang (replika) itu mula marak dan hampir menjilat keseluruhan kapal terbang sebelum tiga trak Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) tiba dan bertungkus lumus memadam kebakaran berkenaan. 

Di jalan utama pula kedengaran bunyi siren ambulans dengan kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mula memasuki kawasan nahas untuk memberi bantuan awal kecemasan kepada 'mangsa nahas’ yang cedera parah.

Bagaimanapun, keseluruhan situasi itu adalah sebahagian daripada latihan amali kecemasan lapangan terbang (AEX) Perisai Panthera kendalian Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang diadakan dua tahun sekali bagi menguji tahap kesiapsiagaan semasa semua unit kecemasan di lapangan terbang berkenaan dalam menghadapi situasi di luar dugaan.

Bermula sejak 10.15 pagi, simulasi fizikal yang mengambil masa hampir tiga jam itu menggambarkan senario penerbangan Sawadi Airlines Airbus A320 dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur, namun 'terhempas’ akibat kegagalan elektrik dalam kapal terbang dan mengakibatkan kebakaran.

Melibatkan 800 individu dari agensi awam dan swasta, simulasi itu antara lain melibatkan pasukan AFRS, JBPM, KKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Penerangan (sebagai pusat media).

Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd Mohd Arif Jaafar dalam sidang media selepas itu menyifatkan simulasi berkenaan bertujuan mengukuhkan koordinasi, keupayaan dan kecekapan kesemua peserta untuk mengikut prosedur yang didokumenkan dalam Pelan Kecemasan Aerodrome (AEP) sekiranya berlaku situasi luar jangka.

Ditanya signifikan simulasi diadakan berhampiran kolam (elemen air), beliau menjelaskan kecemasan di lapangan terbang melibatkan pelbagai senario antaranya ‘di lapangan terbang’ dan ‘luar lapangan terbang’.

“Tujuan ‘luar lapangan terbang’ hari ini menggunakan kolam adalah untuk menilai keberkesanan pihak penyelamat, pasukan skuba, penggunaan bot penyelamat dan juga keadaan yang kita rasa menguji macam mana nak menyelam menyelamatkan mangsa dan kotak hitam.

“Untuk latihan hari ini, kebanyakan agensi dan organisasi yang datang memang bersedia dari sudut masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara penambahbaikan kali ini berbanding simulasi terdahulu pada 2022 ialah penggunaan teknologi terkini bagi pendaftaran mangsa iaitu ia dilakukan dengan penggunaan imbasan Kod respons pantas (QR).

“MAHB telah membangunkan satu sistem iaitu Aerodrome Emergency Centralised Reporting (AECR) bagi memudahkan urusan KKM memproses pendaftaran mangsa yang dulu kita buat secara manual sahaja,” katanya.

Selain itu, simulasi berkenaan juga menampilkan senario kematian mangsa bertujuan meningkatkan kecekapan pihak PDRM, Biro Siasatan Kemalangan Udara dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk mengakses punca nahas dan kematian dengan kerjasama KKM.

Lapangan terbang di Malaysia diwartakan sebagai kawasan larangan, termasuk KLIA Terminal 1 dan dikategorikan sebagai Keutamaan Pemasangan Vital Nasional 1.

Keutamaan 1 merupakan kategori mempunyai ancaman dan kesan tertinggi terhadap keselamatan negara dan kerajaan yang akan berfungsi jika disabotaj atau dimusnahkan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan