AM

PENGASAS RHB BANK ABDUL RASHID HUSSAIN DILANTIK PRO CANSELOR UTEM

07/08/2024 06:30 PM

MELAKA, 7 Ogos (Bernama) -- Tokoh korporat yang juga pengasas Kumpulan Perbankan RHB Tan Sri Abdul Rashid Hussain dilantik sebagai Pro Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkuat kuasa 1 Mei lepas hingga 30 April 2027.

UTeM dalam satu kenyataan memaklumkan penyampaian watikah pelantikan Abdul Rashid disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam selaku Canselor UTeM, semalam.

"Pelantikan Abdul Rashid selari dengan momentum kecemerlangan UTeM yang terus menempa pelbagai kejayaan gemilang dalam negara dan turut mengharum di persada dunia," menurut kenyataan itu.

Abdul Rashid merupakan pengasas Kumpulan RHB yang bermula sebagai syarikat broker saham Rashid Hussain Securities Sdn Bhd pada 1983 sebelum mengembangkannya menjadi antara kumpulan perkhidmatan kewangan bersepadu terbesar di Malaysia.

Sebelum ini, beliau ialah Ahli Lembaga dan Pengerusi pertama Jawatankuasa Eksekutif Khazanah Nasional Berhad dari 1994 hingga 1998, di samping dilantik sebagai Pengerusi Putrajaya Holdings dari 1995 hingga 2000.

Abdul Rashid juga pernah berkhidmat dalam Lembaga Pengarah Malaysian Airline System Berhad dari 1993 hingga 1997 dan Cycle & Carriage Bintang Bhd bagi tempoh 1993 hingga 2008. 

Sebagai ahli pengasas dan Pengerusi bagi Prime Minister of Malaysia’s Fellowship Exchange Foundation yang ditubuhkan pada 1993, Abdul Rashid memainkan peranan penting dalam memupuk budaya pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat merentasi semua bidang.

Terbaharu, beliau juga dilantik sebagai sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) bermula Disember 2023.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan