AM

PM UCAP TAHNIAH KEPADA FINALIS PINGAT PENDIDIKAN ASIA 2024

07/08/2024 10:23 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Pengerusi LeapEd Services Sdn Bhd Shahnaz Al-Sadat yang tercalon sebagai 10 finalis bagi Pingat Pendidikan Asia 2024.

“Moga pencapaian ini membakar semangat saudari dan juga warga pendidik lain agar terus memartabatkan serta memajukan lagi sistem pendidikan di Malaysia,” kata beliau menerusi ciapan di X hari ini.

Menerusi semakan di laman sesawang leapedservices.com, LeapEd Services Sdn Bhd, yang diterajui Shahnaz, adalah perusahaan sosial dengan memberi tumpuan kepada program transformasi pendidikan yang selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sementara itu, laman sesawang t4.education/world-education-medals memaklumkan bahawa Asia Education Medal adalah antara tiga daripada Pingat Pendidikan Dunia yang diasaskan oleh T4 Education dan HP.

Dua lagi anugerah ialah Pingat Pendidikan Afrika dan Pingat Pendidikan LatAm.

“Ia meraikan pemimpin dari semua bahagian di benua itu yang berusaha setiap hari untuk memberikan peluang yang layak mereka peroleh kepada generasi akan datang melalui pendidikan terbaik,” menurut laman sesawang itu.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan