AM

KPDN KELANTAN GAGALKAN CUBAAN SELUDUP MINYAK MASAK BERSUBSIDI

08/08/2024 09:43 PM

KOTA BHARU, 8 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas 731 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dipercayai untuk diseludup ke negara jiran di Chabang Tiga, Pengkalan Chepa, di sini semalam.

Pengarahnya Azman Ismail berkata rampasan dilakukan selepas pihaknya mengesan dua lelaki mahu memunggah minyak masak terbabit dari sebuah kereta ke dalam sebuah rumah tanpa nombor di sini pada 2.15 petang.

“Menyedari kehadiran pasukan KPDN, kedua-dua lelaki itu melarikan diri dengan memandu kereta itu secara melulu sejauh 10 kilometer, namun ditahan di Chabang Tiga Pengkalan Chepa.

“Seorang daripada lelaki itu sempat melarikan diri manakala hasil pemeriksaan menemukan 43 kotak berisi 731 kg minyak masak bernilai RM1,827.50,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata lelaki yang ditahan gagal mengemukakan sebarang dokumentasi berkaitan pemilikan minyak masak itu dan mengakui minyak terbabit mahu diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand.

Beliau berkata lelaki berusia 20 tahun itu kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan