AM

MURAL, NAIK TARAF LANDSKAP ANTARA USAHA BERI NAFAS BAHARU KEPADA PEKAN ULU TIRAM

08/08/2024 05:28 PM

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

JOHOR BAHRU, 8 Ogos (Bernama) -- Proses memberi nafas baharu kepada Pekan Ulu Tiram, di sini, antaranya menerusi pengindahan kawasan lorong dengan lukisan mural dan menaik taraf landskap dijangka bermula tahun depan.

Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Zon Tiram Fauzi Faizal berkata pelbagai perancangan dirangka dalam proses itu termasuk memperhalusi perluasan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di pekan yang berusia hampir seabad itu.

Beliau berkata usaha itu perlu untuk memastikan pekan tersebut membangun seiring kepesatan pembangunan Johor sekali gus membantu meningkatkan lagi taraf ekonomi, pelancongan dan keselamatan di kawasan berkenaan.

“Antara faktor memberi nafas baharu ini ialah kerana kita mahu bersama-sama memeriahkan Pekan Ulu Tiram dengan daya tarikan pelancong selaras dengan sambutan Tahun Melawat Johor pada 2026,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata aktiviti malam di pekan itu juga dijangka akan kembali hidup melalui penganjuran pasar malam pada setiap Khamis yang akan bermula 8 Ogos ini dengan waktu operasi dari 5 petang hingga 11 malam.

“Selain itu, program seperti penganjuran festival makanan tempatan dan antarabangsa juga akan diadakan di Pekan Ulu Tiram untuk memastikan kawasan ini terus menjadi tumpuan sekali gus menarik kedatangan pelancong dan merancakkan aktiviti ekonomi," katanya.

Pada masa sama, Fauzi berkata aspek kebersihan turut diperkasakan menerusi program Johor Bersih Tiram Bersih yang dimulakan awal bulan ini dan akan dilaksana secara berterusan.

Beliau berkata program itu yang mendapat kerjasama pelbagai pihak, menumpukan kerja-kerja pembersihan di seluruh kaki lima dan kawasan sepanjang premis perniagaan serta longkang dan parit di kawasan Pekan Ulu Tiram.

“Program itu yang dilaksanakan pada 3 Ogos lepas dengan kerjasama SWCorp Johor Bahru dan SWM Environment Johor Bahru serta tujuh gabungan badan bukan kerajaan (NGO) telah berjaya mengumpul kira-kira lebih 500 kilogram sampah,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan