AM

CADANGAN PIAGAM HARMONI MALAYSIA DILULUSKAN

08/08/2024 06:42 PM

PUTRAJAYA, 8 Ogos (Bernama) -- Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) hari ini meluluskan cadangan Piagam Harmoni Malaysia sebagai medium perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia.

Piagam Harmoni itu merangkumi enam prinsip, 12 nilai keharmonian, 32 panduan dan sembilan hala tuju di samping mengandungi satu garis panduan yang meliputi perkara yang dibolehkan dan dielakkan dalam memperkasa hubungan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya.

Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan HARMONI juga bersetuju untuk menubuhkan Biro Pengurusan Program dan Aktiviti, Biro Pendidikan dan Promosi serta ⁠Biro Isu Agama dan Mediasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Mohd Na'im Mokhtar dalam kenyataan sama menyuarakan harapan agar biro yang ditubuhkan itu dapat memainkan peranan menyelaras dan melaksanakan aktiviti berkesan ke arah membawa negara Malaysia yang bersatu padu dan harmoni dalam kalangan rakyat Malaysia.

Terdahulu di Putrajaya berlangsung mesyuarat HARMONI yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Mohd Na'im, yang bertujuan membincangkan usaha pengukuhan keharmonian dan perpaduan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan