EKONOMI

ANDORRA HEALTHCARE RAIH PEMBIAYAAN RM150 JUTA UNTUK PENGEMBANGAN HOSPITAL

08/08/2024 10:08 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Andorra Healthcare Bhd (Andorra Healthcare) memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan Crewstone International Sdn Bhd (Crewstone) bagi mendapatkan dana pembiayaan berjumlah RM150 juta untuk pengembangan infrastruktur hospitalnya.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Andorra Healthcare Dr Khamsiah Muda berkata kepakaran dan sokongan kewangan Crewstone akan membolehkan mereka mempercepatkan pelan pengembangan hospital yang amat penting bagi menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi kepada pesakit.

“Kerjasama ini menekankan komitmen bersama untuk meningkatkan infrastruktur penjagaan kesihatan dan memastikan bahawa kemudahan perubatan kami adalah antara yang terbaik di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Andorra Healthcare berkata dana tersebut akan digunakan untuk pengembangan beberapa kemudahan hospital, termasuk penambahan peralatan perubatan terkini, meningkatkan kapasiti katil dan memantapkan perkhidmatan penjagaan pesakit.

Pengembangan berkenaan akan memastikan hospital Andorra dilengkapi untuk menyediakan penjagaan perubatan canggih dan terkini, bagi memenuhi keperluan jumlah pesakit yang lebih besar dan menyokong keperluan penjagaan kesihatan pada masa depan.

Projek tersebut dijadualkan bermula pada suku keempat 2024 dan dijangka siap pada suku keempat 2027.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan