EKONOMI

SYARIKAT PEMULA BOLEH BENTANG IDEA TERUS KEPADA PARLIMEN SEPERTI SARANAN FAHMI - KLSS

08/08/2024 10:45 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Syarikat pemula niaga Malaysia kini boleh membentangkan idea mereka terus kepada penggubal dasar di Parlimen seperti yang disarankan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Sidang Kemuncak Syarikat Pemula KL (KLSS) 2024 pada 17 Julai lepas.

KLSS dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Fahmi dalam ucapan perasmiannya telah melontarkan idea itu untuk perbincangan dan mesyuarat usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seterusnya yang akan diadakan di Parlimen.

Menurut KLSS, inisiatif itu bertujuan mendapatkan sokongan serta dukungan Ahli Parlimen bagi menekankan komitmen kerajaan dalam memupuk keusahawanan dan inovasi di peringkat tertinggi.

“Penganjur komited untuk menjalin kerjasama rapat dengan Kementerian Komunikasi untuk mereka bentuk program yang menghubungkan usahawan peringkat awal dengan penggubal dasar secara berkesan,” katanya.

Pengarah KLSS 2024 Inbaraj Suppiah dalam kenyataan sama memaklumkan sidang kemuncak itu bertujuan menjadi hab untuk syarikat pemula niaga dan usahawan, menyediakan akses langsung serta menghubung syarikat pemula Malaysia dengan penggubal dasar melalui penganjuran ‘Demo Days’ di Parlimen.

Edisi keempat KLSS, yang dianjurkan oleh komuniti syarikat pemula dan PKS di Malaysia, dihadiri lebih 300 orang termasuk usahawan peringkat awal, pelabur, pembina ekosistem dan pelbagai wakil korporat serta kerajaan.

Ia menampilkan perbincangan panel, bengkel kelas pakar dan sesi pitching, melibatkan peserta dalam pembelajaran daripada pemimpin industri, rangkaian dinamik serta membina hubungan bermakna bagi memupuk inovasi dan pertumbuhan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan