AM

SEKTOR PERTANIAN SUMBANG RM17.21 BILION KEPADA KDNK JOHOR TAHUN LEPAS - KETUA PERANGKAWAN

09/08/2024 03:49 PM

JOHOR BAHRU, 9 Ogos (Bernama) -- Sektor pertanian menyumbang RM17.21 bilion atau 11.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Johor tahun lepas. 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata daripada angka itu, subsektor tanaman adalah penyumbang utama dalam sektor pertanian iaitu sebanyak 67.88 peratus, diikuti subsektor ternakan (25.36 peratus) dan subsektor perikanan (6.59 peratus). 

“Berdasarkan tinjauan di Johor, terdapat seorang pengusaha yang sebelum ini menanam sawit bertukar kepada tanaman sayur-sayuran. Pengusaha ini memaklumkan hasil diperolehi adalah sembilan kali ganda daripada tanaman sawit.

“Saya bukan bermaksud semua orang perlu tanam sayur-sayuran, tetapi ada kaedah menambah bekalan sayuran apabila pengusaha menukar hasil pertanian mereka bersesuaian dengan faktor ‘penawaran dan permi taan’ semasa,” katanya kepada pemberita selepas melawat aktiviti ternakan kupang di Kampung Orang Asli Kuala Masai di sini hari ini.

Beliau berkata lawatan aktiviti ternakan kupang di kampung berkenaan merupakan sebahagian daripada program Banci Pertanian 2024 yang dijalankan sejak 7 Julai lepas di seluruh negara merangkumi aktiviti tanaman, ternakan, perikanan, perhutanan dan pembalakan.

Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci Pertanian berkata setakat ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah melakukan bancian melibatkan 35.3 peratus daripada 423,195 pengusaha yang terlibat dalam sektor pertanian di seluruh negara. 

“Kali terakhir bancian menyeluruh seperti ini dilakukan adalah pada tahun 2005, iaitu hampir dua dekad lepas,” katanya sambil menambah Johor direkodkan sebagai pengeluar kupang terbesar negara dengan pengeluaran lebih 2,000 tan setiap tahun dan nilai eksport sebanyak RM4.7 juta. 

Mohd Uzir menyatakan Banci Pertanian 2024 penting dalam perancangan dan pembangunan negara khususnya dalam membantu kerajaan merancang dan melaksanakan dasar-dasar pertanian yang lebih baik.

Beliau berkata maklumat banci yang diperolehi itu boleh digunakan untuk memantau dan menilai kesan program pertanian yang telah dilaksanakan serta merangka langkah untuk meningkatkan produktiviti dan kemampanan sektor pertanian.

“Antara maklumat yang dikumpulkan adalah peratusan penggunaan teknologi dalam sektor pertanian negara serta latar belakang pendidikan pengusaha. Maklumat ini penting untuk kerajaan menggerakkan sektor pertanian ke tahap lebih maju pada masa depan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan