AM

PDRM TINGKAT PENGUATKUASAAN, PERHEBAT KEMPEN KESEDARAN TANGANI PENINGKATAN KEMALANGAN - SAIFUDDIN

09/08/2024 05:06 PM

KEPALA BATAS, 9 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan penguatkuasaan dan memperhebat kempen kesedaran lalu lintas dalam usaha menangani peningkatan kes kemalangan maut melibatkan pengguna motosikal yang turut menjadi kebimbangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau sendiri telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berhubung perkara berkenaan dan akan mengambil tindakan segera.

"Perdana Menteri ada menyampaikan perkara itu ketika mesyuarat Kabinet minggu lepas dengan pengarahan khusus kepada dua pihak, yang pertama Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Jalan Raya dan kedua khusus kepada KDN (Kementerian Dalam Negeri), saya kemudiannya peringkat pasca-Kabinet.

"Kami di KDN menyampaikan terus kepada PDRM berkenaan dengan perkara yang ditimbulkan dan saya bincangkannya dengan Bahagian Trafik Bukit Aman dan Tan Sri Razarudin iaitu balik semula kepada asas (dengan mengadakan) kempen kesedaran jalan raya pada peringkat sekolah, akar umbi dan komuniti untuk menanganinya kerana apabila ada kesedaran (jalan raya) secara tak langsung wujud soal kepatuhan terhadap undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sua Mesra bersama Kementerian Dalam Negeri di Dewan Millenium di sini hari ini, yang turut dihadiri Razarudin dan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad. 

Selasa lepas, Anwar menzahirkan kebimbangan terhadap kadar kemalangan tinggi dalam kalangan pengguna motosikal yang berkait dengan kelemahan penguatkuasaan undang-undang, selain isu penyelenggaraan jalan raya.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata KDN juga akan melihat semula peruntukan undang-undang sedia ada yang diguna pakai dalam usaha mengurangkan jumlah kemalangan melibatkan penunggang motosikal di negara ini.

"Kita juga akan tingkatkan aspek penguatkuasaan antaranya pengeluaran saman dan berdasarkan rekod, anggaran keseluruhan saman yang dikeluarkan setakat ini mencecah nilai kompaun berjumlah RM2.18 bilion.

"Sekiranya nilai saman ini dijadikan indikator, ia membuktikan jumlah saman yang dikeluarkan memang tinggi, tetapi pada masa yang sama, kadar kemalangan motosikal juga bertambah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution menegaskan polis mempunyai budi bicara dan kuasa penuh mengikut undang-undang untuk menjalankan siasatan terhadap mana-mana kes.

Beliau berkata ia termasuk mengenai kenyataan bersama Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) bahawa "kerjasama" dengan sebarang siasatan pihak berkuasa termasuk polis tidak seharusnya melibatkan tuntutan wartawan untuk mendedahkan identiti sumber sulit.

 “Saya tidak mahu pergi ke kes tertentu yang sudah dalam siasatan polis, (tetapi) Ketua Polis Negara boleh mengesahkan bahawa di bawah kepimpinan saya, kementerian dan polis mempunyai budi bicara dan kuasa penuh mengikut undang-undang. 

"Namun, apa yang ingin saya tekankan ialah daripada perspektif kewartawanan dan dunia kewartawanan, penulisan berita yang bertanggungjawab ialah keutamaan kami, bermakna apabila kita menulis, ia mesti disertakan dengan akauntabiliti, ia (tanggungjawab dan akauntabiliti) bukan sahaja kepada stesen media atau syarikat tetapi juga kepada orang ramai secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau mengulas berhubung bantahan Geramm dan NUJM terhadap sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keupayaan wartawan untuk menjaga kerahsiaan sumber tanpa nama serta sebarang berita tidak boleh diketepikan sebagai "tidak benar" atau "tidak sah" hanya kerana mereka memetik sumber tanpa nama.

Pada Selasa lepas, polis membuka kertas siasatan terhadap artikel yang diterbitkan oleh sebuah portal tempatan yang mendakwa akan berlaku rombakan besar-besaran terhadap pegawai tertinggi PDRM Bukit Aman.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan