AM

TEKUN ANJUR KONVOI JALINAN KASIH MERDEKA 2024 SANTUNI PETUGAS

09/08/2024 10:56 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional melalui Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi (Kesura) akan menganjurkan Konvoi Jalinan Kasih Merdeka 2024, yang bertujuan bukan sahaja meraikan kemerdekaan, malah turut menyatukan masyarakat dalam usaha membantu mereka yang memerlukan.

Pengerusi Tekun Nasional Datuk Abdullah Sani dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) hari ini berkata konvoi bermotosikal itu akan merentasi beberapa negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.

“Konvoi ini bukan sahaja untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan, tetapi juga menyampaikan sumbangan kepada warga Tekun Nasional yang sakit, ditimpa musibah dan kurang bernasib baik.

“Selain itu, bersempena dengan Hari Kebangsaan, Tekun Nasional akan menganjurkan Pertandingan Kibarkan Jalur Gemilang yang terbuka kepada semua pejabat negeri, cawangan serta jabatan di ibu pejabat Tekun Nasional bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan warga kerja,” katanya.

Terdahulu, bagi memupuk semangat kemerdekaan bertemakan Jiwa Merdeka dalam kalangan warga kerja, Tekun Nasional hari ini telah memulakan inisiatif mengadakan sambutan Jalinan Kasih Merdeka di ibu pejabat di Bandar Tasik Selatan di sini.

Turut diadakan serahan bendera Malaysia kepada semua warga kerja di ibu pejabat, Selangor dan Wilayah Persekutuan sebagai simbolik kempen “1 Rumah 1 Jalur Gemilang”, bersempena dengan Bulan Kebangsaan.

“Warga kerja digalakkan untuk mengibarkan bendera Malaysia di rumah masing-masing bagi menyemarakkan Bulan Kebangsaan. Pengibaran bendera ini perlu dilihat sebagai tanda cintakan negara serta menghargai jasa para pejuang yang telah berkorban demi kemerdekaan dan kedaulatan negara ini,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan