AM

MCDONALD'S MALAYSIA RAIH PENGIKTIRAFAN KALI KEENAM PADA ANUGERAH CSR MALAYSIA 2024

09/08/2024 11:05 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- McDonald’s Malaysia diberi pengiktirafan dengan Community Engagement and Upliftment Award dalam kategori Restoran Khidmat Segera di Sustainability & CSR Malaysia Awards 2024.

McDonald’s Malaysia dalam kenyataan memaklumkan majlis penyampaian anugerah yang memasuki edisi kesembilan penganjurannya disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

“Pengiktirafan ini menandakan tahun keenam berturut-turut McDonald’s Malaysia diiktiraf oleh CSR Awards Malaysia, memperlihatkan komitmen syarikat yang tidak berbelah bahagi terhadap tanggungjawab sosial dan penglibatan dengan masyarakat. 

“McDonald's Malaysia terus menonjolkan peranannya sebagai syarikat tempatan yang berdedikasi dalam mewujudkan kesejahteraan dalam masyarakat di negara ini,” menurut kenyataan itu.

Inisiatif McDonald’s Malaysia termasuk Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s, sambutan Bulan Komuniti McDonald’s bersama anak yatim serta pelbagai sambutan perayaan dan sumbangan amal seperti meraikan Tahun Baharu Cina bersama warga emas dan Misi Moreh Mekdi semasa Ramadan.

Usaha berkenaan menunjukkan komitmen berterusan McDonald’s Malaysia dalam menyantuni masyarakat dan melaksanakan tanggungjawab sosial.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Datuk Azmir Jaafar melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian syarikat itu.

“Program Komuniti @ McDonald’s & Ronald McDonald House Charities (RMHC) menunjukkan komitmen kami dalam membantu masyarakat.

“McDonald’s Malaysia beroperasi di peringkat tempatan dan kami ingin terus menyumbang kepada masyarakat di Malaysia. Pengiktirafan yang diterima untuk enam kali berturut-turut ini mengukuhkan lagi misi kami untuk menyokong dan meringankan beban golongan yang memerlukan di sekeliling kami. Kami sangat berbangga dapat berkhidmat dan memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya.

Sepanjang 42 tahun McDonald’s di Malaysia, syarikat itu menetapkan matlamat untuk terus mewujudkan kesejahteraan dalam masyarakat.

Dengan lebih 23,000 petugas dalam kalangan rakyat Malaysia dan 13.5 juta pelanggan sebulan, McDonald’s Malaysia kekal memainkan peranan sebagai syarikat korporat yang bertanggungjawab dalam aspek sosial.

Menerusi Program Komuniti @ McDonald’s & RMHC, McDonald’s Malaysia berjanji untuk meneruskan usahanya menyokong pelbagai kumpulan masyarakat sekali gus memastikan impak positif yang berterusan tanpa meninggalkan sesiapa pun.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan