AM

TIADA PENJUALAN KILANG FELCRA BERHAD - KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF

10/08/2024 02:12 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- FELCRA Berhad hari ini mengesahkan tiada sebarang penjualan terhadap kilang pemprosesan buah kelapa sawit milik syarikat itu seperti didakwa sesetengah pihak, malah kilang tersebut masih beroperasi seperti biasa.

Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad Datuk Idris Lasim berkata pengurusan syarikat itu turut mengesahkan bahawa tiada sebarang cadangan penjualan kilang-kilang tersebut yang telah dikemukakan kepada Lembaga Pengarah untuk kelulusan.

“Pengurusan FELCRA Berhad turut menafikan sebarang dakwaan di media sosial yang mengaitkan Pengerusi Felcra Berhad Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dengan penjualan kilang kepada mana-mana pihak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, terdapat lima kilang pemprosesan buah kelapa sawit yang beroperasi secara milikan penuh dan diuruskendalikan FELCRA iaitu Kilang Sawit Seberang Perak - Perak, Kilang Sawit Maran - Pahang, Kilang Sawit Sungai Melikai - Johor, Kilang Sawit Bukit Kepong - Johor dan Kilang Sawit Felcra Nasaruddin - Perak.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat lima kilang pemprosesan buah kelapa sawit yang dimiliki dan diuruskan sepenuhnya, iaitu Kilang Sawit Seberang Perak (Perak), Kilang Sawit Maran (Pahang), Kilang Sawit Sungai Melikai (Johor), Kilang Sawit Bukit Kepong (Johor), dan Kilang Sawit Felcra Nasaruddin (Perak).

Semalam media melaporkan Pengerusi FELCRA Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub menafikan dakwaan bahawa beliau telah menjual kilang FELCRA kepada syarikat bukan Bumiputera dan bersedia disiasat mengenainya.

Ahmad Jazlan turut mencabar pihak yang melemparkan tuduhan itu untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tuduhan itu didakwa dibuat Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard sebelum ini dan sekali lagi diulangnya ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Sg Asap, di sini semalam.

Chegu Bard dipetik mendakwa, terdapat kilang milik FELCRA yang terletak di atas tanah milik kerajaan negeri cuba ditukar milik kepada syarikat bukan Bumiputera.

Idris berkata Felcra Berhad akan terus memberikan komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat dan memastikan kepentingan semua pihak terlibat sentiasa diutamakan, demi memperkukuhkan kedudukannya dalam industri pengilangan hasil agrikomoditi seterusnya menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara secara keseluruhan.

Idris dalam kenyataan itu turut berkata FELCRA Berhad adalah sebuah syarikat korporat yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan berada di bawah penyeliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Ia menjalankan beberapa aktiviti utama dalam perniagaannya yang berfokus kepada pembangunan luar bandar, termasuk perladangan melalui program penyatuan dan pemulihan tanah, pembangunan tanah secara komersial serta penyertaan dalam bidang agromakanan.

Selepas 27 tahun dikorporatkan, ia telah berjaya mengagihkan melebihi RM8.11 bilion agihan keuntungan kepada hampir 107,000 peserta di seluruh Malaysia.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan