AM

PENGAKTIFAN MESIN ATM DI DUN NENGGIRI DISEGERAKAN - MOF

10/08/2024 03:14 PM

GUA MUSANG, 10 Ogos (Bernama) -- Pengaktifan perkhidmatan mesin juruwang automatik (ATM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, di sini, akan dipercepatkan untuk memenuhi keperluan penduduk setempat  dan akan diperluas bagi memastikan semua rakyat dapat menerima kemudahan asas itu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan pihak kementerian mengambil maklum laporan yang diterima mengenai kesukaran penduduk di DUN Nenggiri untuk mengakses mesin ATM, yang memaksa mereka melakukan perjalanan sejauh 50 kilometer untuk ke Gua Musang.

“Kementerian Kewangan telah selesai mengadakan perbincangan dengan beberapa bank tempatan dalam usaha menyediakan perkhidmatan mesin ATM di DUN Nenggiri dan ia mendapat respons positif,” menurut kementerian itu.

Dalam pada itu, MOF memaklumkan pihaknya akan mengadakan sesi libat urus dengan bank-bank tempatan secara berterusan bagi mengenal pasti penambahbaikan, khususnya dalam memastikan akses kepada perkhidmatan ATM dapat diperluaskan.

Menurut kementerian itu, orang ramai yang menghadapi kesukaran mendapatkan akses mesin ATM di kawasan mereka boleh menghubungi MOF melalui ukk@treasury.gov.my atau talian 03-8000 8000.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan