AM

KPKT LULUS RM6.72 JUTA UNTUK PEMBANGUNAN, INFRASTRUKTUR AWAM DI KAMPAR

10/08/2024 03:48 PM

KAMPAR, 10 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan sebanyak RM6.72 juta bagi pelaksanaan 11 projek pembangunan dan infrastruktur awam kepada penduduk Kampar bagi tahun ini.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata projek itu meliputi Program Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia melibatkan peruntukan sebanyak RM210,000, projek pembangunan Majlis Daerah Kampar (RM3.06 juta) dan projek Pembangunan Landskap Persekitaran Kehidupan di Bandar Kampar (RM500,000).

Selain itu, program lain katanya termasuk baik pulih rumah sebanyak RM120,000, projek kemajuan Kampung Baru termasuk Program Bantuan Baik Pulih (RM1.3 juta), Program Rumah Mesra Rakyat (RM1.2 juta) dan projek pembaikan, pengubahsuaian dan penyelenggaraan tiga Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) sebanyak RM329,700.

“Kesemuanya (peruntukan) hampir RM7 juta. Kerajaan MADANI sentiasa menitikberatkan pembangunan setiap negeri, wilayah khususnya Kampar. Harapan saya kita semua terus bersemangat, berikan yang terbaik dan kekal komited berkhidmat untuk kesejahteraan masyarakat di sini dan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa, agama dan wilayah.

“Untuk makluman semua di bawah KPKT, setiap peruntukan ia perlu memenuhi beberapa KPI (petunjuk prestasi utama), pertamanya perlu ada analisis kos faedah supaya setiap sen dibelanja memang berbaloi dan pastikan ada pulangan pelaburan untuk rakyat,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerjanya pada Program Sentuhan Kasih KPKT ke Kampar di sini hari ini.

Terdahulu siri lawatan kerja Nga di Kampar bermula dengan tinjauan projek menaik taraf Pasar Awam Kampar dan Pasar Khinzir Kampar, sebelum melawat Projek Pembangunan Landskap Persekitaran Kehidupan di sepanjang Jalan Jalinan Hijau di antara Jalan Angkasa dan Jalan Damai 1 dan 6, Bandar Kampar.

Seterusnya beliau meninjau Projek Naik Taraf Dewan Orang Ramai di Kampung Baru Wah Loong sebelum ke Majlis Penyerahan Peruntukan Inisiatif Penyelenggaraan RIBI bagi tahun 2024 di Gurdwara Sahib Kampar.

“Secara keseluruhan, sebanyak RM7.11 juta telah diluluskan kepada sebanyak 70 buah RIBI di seluruh negeri Perak dari Januari sehingga Ogos,” katanya.

Destinasi terakhir lawatan kerja itu ialah tinjauan ke projek naik taraf Pasar Mambang Di Awan dan beliau berkata projek tersebut dijangka meningkatkan ekonomi setempat di samping membantu meringankan beban rakyat menerusi penyediaan perkhidmatan berkualiti dan terbaik.

Sementara itu, beliau berkata KPKT telah meluluskan peruntukan RM24 juta untuk kawasan di Taiping dan Kampar setakat ini, dengan Perak diberi peruntukan lebih RM140 juta iaitu menurut Nga antara tertinggi dalam sejarah.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan