AM

UCSF PERLU KUKUHKAN PROGRAM STEM DAN TVET - HAJIJI

10/08/2024 04:11 PM

KOTA KINABALU, 10 Ogos (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mahu Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) mengukuhkan program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memenuhi cabaran Revolusi Industri 4.0.

Hajiji yang juga Canselor UCSF berkata dalam usaha itu, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada institut pengajian tinggi milik Yayasan Sabah berkenaan bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan kecemerlangan selain melahirkan modal insan berkemahiran serta berkualiti. 

Beliau berkata langkah itu juga penting bagi memastikan siswazah UCSF berupaya menyokong proses pembangunan Sabah merentasi pelbagai sektor ekonomi seperti pelancongan dan hospitaliti, pertanian, pembuatan, pembangunan sosial dan masyarakat serta industri kreatif. 

"Gunakanlah semua ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang berada di UCSF agar dapat menjadi warga kerja yang efisien, kreatif dan inovatif”, katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ketiga UCSF di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Pada majlis hari ini seramai 140 graduan menerima skrol masing-masing iaitu 74 graduan ijazah sarjana muda dan 66 graduan diploma.

Hajiji juga berharap usaha UCSF, yang didaftarkan pada 2014, mewujudkan entiti baharu antaranya Pusat Kajian Pembangunan (CDS), Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi (STIC) dan Pusat Keusahawanan UCSF mampu mencapai matlamatnya.

"Fokus kita pada masa ini ialah mewujudkan persekitaran kondusif bagi perkembangan perniagaan, menarik pelaburan dalam dan luar negeri, serta memastikan tenaga kerja dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi permintaan masa depan," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Dr Rafiq Idris berkata UCSF kini dalam proses persediaan penawaran program kerjasama strategik dengan Universiti Teknologi Petronas (UTP) serta Universiti Sains Islam (USIM). 

Beliau berkata UCSF telah memberi manfaat kepada lebih 3,000 orang anak Sabah sejak penubuhan institusi itu menerusi kursus-kursus pada peringkat ijazah sarjana muda, diploma dan sijil. 

Katanya selain mengikuti kursus mengikut bidang masing-masing, UCSF turut berusaha melahirkan pelajar yang celik konsep mesra alam (green) selain perniagaan, kewangan dan digital. 

"Pelajar UCSF turut ditekankan mengenai peranan pelbagai pihak berkepentingan dalam mencapai sasaran global atau apa yang disebut sebagai Matlamat Pembangunan Lestari 2030," katanya.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan