AM

SARAWAK BANGKIT DALAM SEKTOR PERTANIAN, FOKUS SOAL KETERJAMINAN MAKANAN – MOHAMAD SABU

11/08/2024 02:42 PM

MIRI, 11 Ogos (Bernama) -- Sarawak menyaksikan kebangkitan dalam sektor pertanian iaitu nanas dan padi kini menjadi fokus utama dalam soal keterjaminan makanan di Malaysia, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata soal beras ialah soal keselamatan makanan dan kementeriannya sanggup berbelanja lebih dalam sektor pertanian bagi memastikan keterjaminan makanan dalam negara pada masa akan datang.

“Sebab itu setiap kali berucap saya sentiasa tekankan soal keterjaminan makanan, jadi jangan ada yang mempersoalkan mengapa peruntukan untuk padi begitu besar.

“Saya berharap peserta di Sarawak dapat bersama-sama menjadikan negeri ini dikenali sebagai negeri utama dalam strategi keterjaminan makanan Malaysia pada masa akan datang,” katanya selepas program Ramah Mesra Bersama Nelayan sempena Jelajah Road to MAHA di sini, hari ini.

Beliau turut menyeru pengusaha di Sarawak supaya mengambil peluang untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) yang akan berlangsung pada 11 hingga 22 Sept ini.

Berucap pada majlis itu, Mohamad berkata masyarakat nelayan juga penting kerana mereka ialah penyumbang kepada kemajuan sektor perikanan, sekali gus memastikan bekalan makanan dalam negara sentiasa mencukupi.

“Sebab itu kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tetap meneruskan pemberian bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) kepada 38,000 nelayan di seluruh Malaysia dengan peruntukan berjumlah RM136.8 juta.

“Daripada jumlah tersebut, sejumlah 5,490 penerima bantuan ialah nelayan-nelayan di negeri Sarawak,” katanya sambil menambah kerajaan turut menyalurkan pelbagai bentuk bantuan lain kepada nelayan di negeri itu.

Antaranya menerusi Program Peningkatan Kapasiti Nelayan B40, Pembangunan Fasiliti Perikanan Komuniti Nelayan, Pembesaran Unjam-Unjam bagi Komuniti Persatuan Nelayan, Peningkatan atau Naik Taraf Kemudahan Infrastruktur Jeti, Pembangunan Projek Ekonomi Persatuan Nelayan Berkluster dan Program Mekanisasi dan Automasi Agromakanan, katanya,

-- BERNAMA


 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan