AM

MUZIUM AUTOMOBIL NASIONAL KHAZANAH REVOLUSI AUTOMOTIF NEGARA

11/08/2024 03:16 PM

SEPANG, 11 Ogos (Bernama) -- Muzium Automobil Nasional (MAN) memainkan peranan penting dalam mengetengahkan revolusi industri automotif yang melonjakkan imej negara di mata dunia sekali gus memupuk rasa bangga dan patriotisme rakyat.  

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Azman Yusof berkata industri automotif tempatan bergerak seiring dengan perubahan ekonomi, politik dan sosial negara sejak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

"Kalau kita tengok perkembangan industri permotoran dalam negara, ia secara tidak langsung beri impak positif kepada Malaysia.

"Contohnya, ia melonjakkan imej Malaysia di persada antarabangsa apabila kita menghasilkan kereta nasional Proton Saga dan rakyat Malaysia pula bangga menggunakan produk negara sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Semarak@MAN 2024 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang di sini hari ini.

Beliau berkata MAN berperanan sebagai khazanah yang menyimpan sejarah perkembangan industri automotif negara bagi tatapan generasi muda, sekali gus membuktikan Malaysia antara yang berjaya dalam bidang itu.

Azman berkata pelbagai program kreatif dan berinovatif tinggi dengan aplikasi teknologi terkini perlu dilaksanakan MAN agar institusi itu kekal relevan dan menjadi produk pelancongan di daerah Sepang.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Muzium Malaysia (JMM) Mohamad Shawali Badi dan Ketua Muzium Automobil Nasional Safia Ismail.

Program Semarak@MAN bertemakan 'Muzium dan Permotoran' bertujuan menyemarakkan peranan muzium dalam usaha menjalinkan kerjasama antara komuniti tempatan, kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan.

Program dua hari bermula semalam itu bertujuan menyebarkan dan memberi kefahaman kepada masyarakat tentang peranan MAN, di samping membentuk minda generasi muda untuk lebih menghargai warisan negara.

Antara inti pati program itu termasuk pameran permotoran melibatkan rakan strategik MAN iaitu Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Slot Kenali Muzium selain pameran koleksi kereta dan motor klasik.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan