AM

TINDAKAN TERHADAP WAN AHMAD FAYHSAL BERDASARKAN USUL KERAJAAN - JOHARI

11/08/2024 03:46 PM

KOTA BHARU, 11 Ogos (Bernama) -- Tindakan menggantung Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal daripada menghadiri sidang di Parlimen selama enam bulan adalah berlandaskan usul yang dibuat kerajaan, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Beliau berkata tindakan itu mengikut peraturan mesyuarat Dewan Rakyat yang dibenarkan.

“Isu penggantungan (Wan Ahmad Fayhsal) adalah kerajaan yang mengusulkannya jadi bukan saya yang hukum dia, saya cuma mengendalikannya.

"Dia (Ahli Parlimen Machang) bukan orang pertama yang dikenakan tindakan sedemikian malah sebelum ini, terdapat enam hingga tujuh Ahli Parlimen sudah dikenakan tindakan sama termasuk Tan Sri Lim Kit Siang," katanya dalam sidang media sempena Program Lawatan Kerja ke Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Johari berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Wan Ahmad Fayhsal dalam ceramah umum Pilihan Raya Kecil Nenggiri di Felda Perasu, Gua Musang, semalam, yang menyatakan beliau tidak dipanggil untuk membela diri oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sebelum tindakan terhadapnya diputuskan.

Pada 17 Julai lepas, Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan susulan usul daripada Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang meraih sokongan 110 Ahli Parlimen manakala 63 tidak bersetuju, tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.

Usul berkenaan dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ekoran tindakan Wan Ahmad Fayhsal membangkitkan isu surat layang di Dewan Rakyat, kononnya mengenai dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan