AM

SJAM PERAK MOHON SUMBANGAN RM500,000 NAIK TARAF KEMUDAHAN IBU PEJABAT

11/08/2024 04:19 PM

IPOH, 11 Ogos (Bernama) -- St John Ambulans Malaysia (SJAM) Perak memerlukan sumbangan RM500,000 bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih serta menaik taraf beberapa kemudahan di ibu pejabatnya di Jalan Raja Muda Aziz, di sini.

Pengerusinya Tan Beng Lee berkata lebih 80 peratus struktur dewan SJAM yang diperbuat daripada kayu mengalami serangan anai-anai, manakala atapnya juga kebanyakannya bocor, selain pendawaian elektrik yang usang dan menimbulkan kebimbangan.

Beliau berkata kemudahan lain yang memerlukan pembaikan segera adalah laluan yang sebahagian besarnya menjadi tapak parkir kenderaan petugas serta orang awam.

“Selain itu, tempat letak kereta juga berada dalam keadaan buruk dan perlu diturap semula bagi keselesaan serta mudah diakses oleh semua,” katanya pada sidang media Projek Kutipan Dana Pembaikpulihan Dewan SJAM Perak di sini hari ini.

Ibu Pejabat SJAM Perak yang berkeluasan sekitar 0.4 hektar itu mula dibina pada 1957 dan telah dirasmikan oleh Sultan Perak Sultan Yussuf Izzuddin Shah pada 16 Julai 1958.

Pembinaan bangunan itu pula menelan belanja kira-kira RM725,527 dan sebahagian dana  disumbangkan oleh badan kebajikan masyarakat, syarikat korporat dan peniaga.

 -- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan