AM

TUKAR TOPI KELEDAR, DISKAUN SAMAN TRAFIK PADA PROGRAM MADANI RAKYAT DI JOHOR

11/08/2024 07:29 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Penukaran topi keledar, naskhah al-Quran serta pemberian diskaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) hingga 50 peratus antara tawaran "hangat" Program MADANI Rakyat, yang diteruskan pada edisi Zon Selatan di Dataran UTM, Skudai, Johor Bahru bermula 15 hingga 17 Ogos ini.

Ketua Komunikasi Korporat Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri Sapian Mamat berkata sebanyak 3,000 topi keledar dan 500 naskhah al-Quran baharu disediakan bagi pengunjung terawal pada program bermula 9 pagi itu.

“Turut diteruskan ialah segmen Jualan MADANI daripada 136 usahawan yang menawarkan potongan harga, selain pameran aset-aset kerajaan termasuk daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya ketika menjadi tetamu program Bernama Radio baru-baru ini.

Beliau berkata lebih 170 perkhidmatan touchpoint rakyat turut tersedia kepada pengunjung, selain terdapat 34 reruai kementerian dan agensi kerajaan negeri bagi membolehkan rakyat mendapatkan perkhidmatan dan maklumat berkaitan.

Bagi yang datang bersama keluarga, Sapian berkata mereka boleh mengunjungi petting zoo atau zoo haiwan jinak bersama anak-anak, selain menyertai akitiviti menaiki kuda dan beberapa pertandingan seperti memancing, e-sukan, kereta kawalan jauh dan geocaching.

Orang ramai juga katanya, boleh menyertai aktiviti santai seperti fun run sejauh lima kilometer dan senamrobik, mendapatkan anak pokok, membuat pendaftaran MyDigital ID dan bagi mereka yang mencari peluang pekerjaan, lebih 1,000 kekosongan daripada pelbagai syarikat ditawarkan pada program berkenaan. 

Sapian berkata di pentas utama pula, pengunjung boleh mengikuti aktiviti ilmiah seperti slot New Industrial Master Plan 2030 yang akan dikendalikan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Kesihatan yang akan mengendalikan slot bertajuk “Spa atau Klinik Estetik?”. 

Turut diadakan ialah pertandingan Busana Cilik Kemerdekaan yang dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara serta persembahaan kebudayaan daripada Permata Seni Tari yang dikendalikan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. 

Mengenai kemudahan, beliau berkata pihak urus setia menyediakan surau, tandas dan trak makanan selain lebih 1,000 lot tempat letak kereta dan bas ulang-alik yang akan memudahkan pengunjung ke program itu. 

Sehubungan dengan itu, orang ramai dijemput untuk bersama-sama hadir memeriahkan program yang diadakan hingga 10 malam, manakala pada 17 Ogos (Sabtu), bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang.

Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan merangkumi Johor, Negeri Sembilan dan Melaka itu ialah anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui PACU dengan kerjasama strategik Kementerian Ekonomi selaku kementerian peneraju dan kerajaan Johor.

Program itu akan menumpukan kepada pelaksanaan dasar Ekonomi MADANI serta komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan rakyat, usahawan dan industri sejak setahun dilancarkan. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan