AM

JAKOA NAFI GAGAL SELENGGARA AIR BERSIH UNTUK PERKAMPUNGAN ORANG ASLI GUA MUSANG

12/08/2024 06:37 PM

KOTA BHARU, 12 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menafikan dakwaan bahawa isu air di Gua Musang melibatkan perkampungan Orang Asli berpunca daripada kegagalan jabatan itu menyelenggara sistem rawatan air yang disediakan.

Ketua Pengarah JAKOA Datuk Sapiah Mohd Nor memaklumkan sebanyak 109 kampung Orang Asli di Gua Musang mempunyai sistem bekalan air iaitu menggunakan tiga sistem air paip, 16 telaga air bawah tanah dan 90 graviti (sungai).

"Sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sejumlah RM25 juta telah diperuntukkan bagi kerja-kerja bina baharu dan pembaikan sistem rawatan air, manakala sebanyak RM5 juta pula dibelanjakan untuk kontrak penyelenggaraan.

"Isu pembekalan air ke perkampungan Orang Asli adalah berpunca dari sumber air yang terhad selain ia tercemar. Masalah ini berlaku bukan sahaja di perkampungan Orang Asli malah di kawasan masyarakat Melayu dan perkampungan berhampiran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata perkara itu berlaku disebabkan kurangnya kawasan tadahan hujan yang dapat menyalurkan air ke kawasan-kawasan sekitar akibat aktiviti pembalakan dan pembukaan ladang secara tidak terkawal serta kurangnya kawalan terhadap pencemaran air di Sungai Kelantan.

Bagaimanapun, Sapiah berkata JAKOA tetap berusaha menyediakan alternatif lain bagi mendapatkan sumber bekalan air masyarakat Orang Asli Gua Musang dengan membangunkan telaga melalui kerjasama strategik bersama agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Mineral dan Galian (JMG) serta universiti-universiti tempatan.

Baru-baru ini, Pengarah Operasi Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Tan Sri Annuar Musa mendakwa peruntukan untuk penyediaan bekalan air bersih di penempatan pedalaman Orang Asli disalurkan JAKOA.

Annuar turut menafikan masalah air yang membelenggu penduduk Orang Asli itu disebabkan kegagalan kerajaan negeri menyelesaikannya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan