AM

BANK MUAMALAT TAWAR BANTUAN KHAS BANJIR

13/08/2024 12:40 PM

KUALA LUMPUR, Aug 13 (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) menawarkan bantuan khas banjir yang merangkumi bantuan moratorium untuk semua pembiayaan individu dan perniagaan sehingga enam bulan.

Selain itu, Bank Muamalat juga menawarkan bantuan menggantikan kad debit dan kad kredit tanpa sebarang bayaran serta pengecualian caj transaksi pengeluaran RM1 menerusi mesin pengeluaran wang automatik kepada pelanggannya yang terjejas ekoran situasi banjir buruk yang melanda beberapa kawasan di negara ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Khairul Kamarudin berkata pihaknya amat prihatin terhadap kesulitan dihadapi pelanggannya termasuk individu serta perniagaan dan berharap bantuan khas banjir ini dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terlibat.

“Sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang sentiasa komited dalam mencipta ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’ pelanggannya, kami bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam menyokong dan membantu komuniti menempuhi waktu getir ini.

“Pelanggan yang menghadapi kesulitan kewangan berikutan bencana ini boleh memohon bantuan khas dengan memuat turun borang permohonan “Service Request Form” (SRF) di laman sesawang Bank Muamalat di www.muamalat.com.my,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelanggan juga perlu menghantar dokumen sokongan yang berkaitan menerusi e-mel bantuanbanjir@muamalat.com.my dan langkah proaktif akan diambil bagi memastikan proses dokumentasi dan kelulusan permohonan dipermudahkan.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh mengunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 03-2600 5500.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan