EKONOMI

HARGA SAHAM SIK CHEONG DITUTUP 36 SEN PADA HARI PERTAMA DAGANGAN

13/08/2024 07:03 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Pembekal produk olein sawit ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD), Sik Cheong Bhd membuat penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia, ditutup pada 36 sen, bagi premium sembilan sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 27 sen.

Pada pukul 5 petang, Sik Cheong juga muncul sebagai salah satu daripada tiga saham teratas yang paling aktif didagangkan dengan jumlah dagangan sebanyak 128.75 juta.

Terdahulu, pada 9 pagi, saham Sik Cheong dibuka pada 50 sen mewakili premium 85.2 peratus berbanding harga IPO. 

Pengarah Urusannya, Wong Hing Ngiap berkata syarikat itu telah mengumpul sejumlah RM17.8 juta menerusi IPO itu.

Daripada jumlah ini, sejumlah RM7.2 juta atau 40.3 peratus diperuntukkan untuk pengembangan kemudahan pembungkusan termasuk pembinaan semula kilang serta pembelian mesin dan peralatan baharu.

Selain itu, RM0.9 juta (5.0 peratus) diperuntukkan untuk pembelian trak penghantaran baharu.

Kumpulan itu juga memperuntukkan RM6.0 juta (33.4 peratus) untuk modal kerja dengan baki RM3.8 juta (21.3 peratus) untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.

"Dengan modal baharu yang diperoleh, kami kini bersedia untuk memulakan fasa pengembangan kami yang seterusnya," katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian syarikat itu.

Ditanya sama ada kenaikan ringgit baru-baru ini memberi kesan kepada keupayaan syarikat untuk mengurangkan kos bahan mentah, Wong berkata ia tidak menjejaskan kos operasi syarikat, mungkin kerana kenaikan itu masih baru lagi.

Sementara itu, mengenai jangkaan pelonggaran harga minyak sawit mentah (MSM) pada suku ketiga dan bagaimana kos operasi yang tinggi mungkin memberi kesan kepada keuntungan kumpulan dan margin keuntungan pada masa depan, strategi utama ialah menguruskan kadar pusing ganti, katanya.

“Kami mengekalkan kadar perolehan yang sangat singkat. Kos diimbangi dengan cepat oleh jualan kepada pelanggan, ia membantu kami menguruskan ketidaktentuan harga MSM.

"Selain itu, jika kos meningkat, kami boleh mengenakan kenaikan ini kepada pelanggan dengan kerap menyemak harga jualan kami," katanya.

Kadar perolehan stok semasa syarikat itu adalah antara lima hingga tujuh hari.

Sik Cheong menawarkan jenama minyak masak seperti Sawit Emas, Vitamas dan minyak lampu di bawah jenama Pingat Emas.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan