AM

NEUROGINE, SERATU AATAI BEKERJASAMA PULIHARA GAJAH BORNEO, BIODIVERSITI SABAH

13/08/2024 10:32 PM

LABUAN, 13 Ogos (Bernama) -- Neurogine Sdn Bhd mengumumkan kerjasama penting dengan Pertubuhan Pemuliharaan Biodiversiti Seratu Aatai Sabah (Seratu Aatai) bertujuan melindungi Gajah Borneo  selain melindungi kekayaan biodiversiti di Sabah.

Ketua pegawai eksekutifnya Owen Chen Chee Onn menekankan mengenai kepentingan perkongsian itu semasa pelancaran ‘Kinabatangan Endangered Species Educational Corner’ dan ‘Elephant Guardian Alliance’ di Pusat Ekosistem Marin Tanjung Aru di Kota Kinabalu pada Isnin. 

“Neurogine berbangga menjadi rakan korporat pertama yang menyokong usaha Seratu Aatai untuk melindungi Gajah Borneo yang terancam, spesies penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem hutan hujan di Sabah,” katanya.

Acara bersempena Hari Gajah Sedunia 2024 (WED 2024) itu anjuran Seratu Aatai dengan kerjasama Sabah Pangolin Awareness Association (Pangolin Aware) dan Explore Gaia Enterprise (Gaia) yang bertujuan menerajui pemuliharaan Tenggiling Sunda (Manis javanica) dan burung Rhinoplax vigil.

Pada acara itu, Neurogine turut diiktiraf sebagai rakan korporat pertama yang menyokong Seratu Aatai dengan Chen dilantik sebagai seorang daripada dua duta Nuerogine untuk menyertai Elephant Guardian Alliance (EGA).

Chen menjelaskan bahawa pelaburan dalam pemuliharaan Gajah Borneo bukan sekadar sumbangan semata-mata ia lebih daripada itu.  

“Ini sebahagian komitmen kami demi masa depan yang mampan buat semua. Kami menggesa pihak lain untuk turut sama menyertai usaha ini kerana ia tanggungjawab bersama," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Aru Datuk Junz Wong Hong Jun yang merasmikan pelancaran itu menyeru lebih banyak korporat dan individu menyertai usaha pemuliharaan. 

“Kita akan menjadi suara untuk melindungi haiwan seperti tenggiling Sunda dan helmeted hornbill. Saya mahu kawasan Tanjung Aru menjadi 'nadi' kepada usaha itu,” kata Wong.

Pengarah Seratu Aatai Dr Nurzhafarina Othman yang turut hadir pada majlis itu mengucapkan tahniah kepada Neurogine atas sokongan yang diberikan sambil menambah bahawa syarikat boleh memperlihatkan komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar serta tanggungjawab sosial dengan mengamalkan amalan kelestarian global dan perniagaan yang beretika.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan