AM

MALAYSIA-RUSIA BINCANG KERJASAMA PERDAGANGAN PRODUK PERTANIAN, R&D - KPKM

15/08/2024 12:08 AM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Potensi kerjasama teknikal dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara Malaysia dan Rusia terutamanya Republik Tatarstan antara yang dibincangkan ketika kunjungan hormat Rais (Presiden) Republik Tatarstan Rustam Minnikhanov ke atas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu di sini hari ini.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan memaklumkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengadakan perbincangan awal dengan Kazan State Agrarian University (KSAU) untuk meneroka peluang kerjasama dalam program penyelidikan serta pembangunan kapasiti bagi sektor seperti perubahan iklim, baja, pembiakan dan pengeluaran benih tanaman sayuran serta kejuruteraan genetik.

“YB Menteri turut memohon kerjasama pihak Republik Tatarstan bagi membekalkan maklumat mengenai keperluan import produk seperti sarang burung (bird's nest), makanan sejuk beku serta barangan sedia untuk diminum dan sedia untuk dimakan dari Malaysia bagi memasuki pasaran republik itu. 

“Turut dibincangkan kerjasama dalam perdagangan produk pertanian antara kedua-dua negara terutamanya mengenai eksport daging dan produk tenusu dari Rusia ke Malaysia serta proses penilaian risiko bagi akses pasaran produk pertanian yang baharu,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan di akhir pertemuan Mohamad turut menzahirkan penghargaan atas pengesahan kehadiran Menteri Pertanian dan Makanan Republik Tatarstan Marat Zyabbarov dan delegasi pertanian dari republik itu ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang dijadualkan pada 11-22 Sept ini.

Hadir sama dalam pertemuan ini ialah Ketua Setiausaha KPKM Datuk Lokman Hakim Ali, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Datuk Azah Hanim Ahmad, pegawai kanan KPKM dan jabatan serta agensi di bawah kementerian itu.

Lawatan Rustam ini merupakan kunjung balas kepada kunjungan hormat Mohamad ke atas beliau semasa Forum Ekonomi Antarabangsa Rusia-Dunia Islam ke-14 atau KazanForum 2023 yang diadakan di republik tersebut pada Mei tahun lepas.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan