AM

ORGANISASI MEDIA PERLU SAHUT CABARAN SEDIA CARUMAN PERKESO UNTUK PETUGAS SAMBILAN - FAHMI

15/08/2024 03:31 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Kerajaan mahu organisasi media tempatan menyahut cabaran menggalas tanggungjawab dengan menyediakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk petugas sambilan yang berdaftar di bawah mereka.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata inisiatif itu bagi menjamin keselamatan sosial pekerja sambilan media di seluruh negara.

“Kita akan pantau dari semasa ke semasa, kerana kita ambil maklum struktur bagi stringers ini agak berbeza, ada yang berdasarkan laporan tugasan (job), berdasarkan apa yang telah diarahkan oleh syarikat media.

“Jadi saya lihat kita perlu berlaku adil kepada para stringers,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan Perkeso bagi memperluas perlindungan sosial kepada pengamal media sambilan melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di Wisma Bernama hari ini.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso John Riba Marin.

Fahmi berkata pihak Kementerian Komunikasi juga akan mengadakan perbincangan dengan semua syarikat atau organisasi media untuk menentukan apakah langkah seterusnya dalam menjamin keselamatan sosial bagi pekerja sambilan media.

“Jadi tahun pertama kita di pihak kerajaan melalui Bernama, kita bantu untuk tanggung (caruman), tapi kita harap syarikat-syarikat media akan menggalas tanggungjawab itu,” katanya.

Ketika ini kadar caruman tersebut ditanggung 90 peratus oleh kerajaan manakala 10 peratus lagi oleh Bernama bagi tempoh setahun bermula 1 Julai lepas.

SKSPS bakal memanfaatkan 493 pengamal media sambilan daripada 45 organisasi media di seluruh negara dengan nilai caruman RM232.80 setiap individu.

Majlis hari ini turut menyaksikan penyampaian Nota Perlindungan PERKESO kepada 10 petugas media sambilan dari Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Astro AWANI, Media Prima Berhad, Utusan Malaysia, Makkal Osai dan BERNAMA.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan