AM

DATUK BANDAR KL BAHARU DIHARAP MAMPU BAWA TENAGA BAHARU, BERI KHIDMAT TERBAIK - FAHMI

15/08/2024 05:36 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu diharap akan membawa 'tenaga baharu' dan memperkukuh keyakinan jentera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada warga kota.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata beliau yakin harapan Ahli-ahli Parlimen di Kuala Lumpur itu dapat dizahirkan oleh Datuk Seri Maimumah Mohd Sharif berdasarkan kepada pengalaman beliau sebelum ini.

“Saya rasa beliau mungkin salah seorang pakar dalam isu-isu perancangan bandar. Jadi kita berikan dia sedikit masa, hari ini baru hari kedua, saya rasa beliau baru ‘masuk pejabat’ pagi tadi.

“Kita beri beliau sedikit masa, kita bagi sokongan, ini kali pertama seorang wanita menjadi Datuk Bandar, satu perkara yang cukup bersejarah,” kata Menteri Komunikasi itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang bertujuan memperluas perlindungan sosial kepada pengamal media sambilan melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di Wisma Bernama hari ini.

Maimunah, 63, yang merupakan Wanita Asia pertama memegang jawatan Pengarah Eksekutif United Nations Human Settlement Programme (UN-Habitat), dilantik sebagai sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Datuk Kamarulzaman Mat Salleh yang bersara wajib.

Beliau pernah menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa antaranya Tokoh Perancang Bandar Malaysia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Ahli Kehormat Royal Town Planner’s Institute, United Kingdom; Felo Kehormat, United Cities of Local Government (UCLG) dan Ambassador of His Majesty King Charles III (King’s Foundation) dalam perbandaran mampan di negara-negara Komanwel.

Beliau juga pernah menyandang jawatan Pengarah Eksekutif UN-Habitat yang berpusat di Nairobi, Kenya selama enam tahun dan merupakan wanita Asia pertama yang memegang jawatan tersebut.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan