AM

PEMANDU LORI MAUT KEMALANGAN, LEBUH RAYA PLUS SESAK 6KM

15/08/2024 05:45 PM

IPOH, 15 Ogos (Bernama) -- Seorang pemandu lori maut, manakala kelindan cedera dalam satu nahas jalan raya di Kilometer (km) 257 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Kuala Kangsar hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima maklumat pada 1.57 tengah hari sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dan Meru Raya  tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian.

"Nahas melibatkan sebuah lori Hino lima tan terbabas melanggar pembahagi jalan dan terbalik. 

"Dua mangsa iaitu pemandu lori berusia 23 tahun tersepit di tempat duduk disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala kelindan lelaki berusia 29 tahun cedera ringan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata operasi menyelamat sedang giat dijalankan ketika ini.

Sementara itu, PLUS menerusi ciapan di X  memaklumkan kesesakan trafik berlaku sejauh enam km dari arah Ipoh ke Kuala Kangsar.

Kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan dan PLUS mengaktifkan laluan kontra dari km 257.5 ke km 256.4 dan pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan susur keluar Plaza Tol Ipoh (S) bagi mereka yang menuju arah utara.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan