AM

JKNT KELUAR LEBIH 5,000 NOTIS BAWAH KAWALAN ROKOK SEHINGGA JULAI TAHUN INI

15/08/2024 05:43 PM

Pengarahnya Datuk Dr Kasemani Embong berkata notis itu hasil pemeriksaan ke atas 15,356 premis melalui 831 operasi penguatkuasaan di seluruh negeri Terengganu.  

Beliau berkata jumlah notis yang dikeluarkan tahun ini meningkat 24.4 peratus, berbanding 4,366 notis yang dikeluarkan dalam tempoh sama tahun lepas.

"Antara kesalahan yang direkodkan termasuk merokok di kawasan larangan merokok, menjual rokok di bawah harga minimum dan tiada pemasangan papan tanda larangan merokok di premis kedai.

"Kesalahan melibatkan penjualan rokok elektronik (vape) kepada kanak-kanak atau individu di bawah usia 18 tahun juga banyak berlaku di Terengganu," katanya pada sidang media Ops Cakna di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Marang hari ini.

Dr Kasemani berkata berdasarkan data tersebut pihaknya mendapati kesedaran komuniti terhadap peraturan dan akta berkaitan kawalan rokok masih rendah dan perlu dipertingkat.

Beliau berkata pada masa akan datang JKNT akan meluaskan lagi kawalan penjualan, pengiklanan, promosi, pelabelan, pembungkusan dan penajaan terutama rokok elektronik kepada orang belum dewasa.

"Memang agak sukar untuk kita pastikan pemilik kedai tidak menjual rokok atau vape kepada mereka yang berusia 18 tahun ke bawah. Tetapi setiap kali operasi penguatkuasaan kita akan tekankan perkara tersebut kepada pemilik premis untuk meningkatkan kesedaran," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan