POLITIK

PRK NENGGIRI: JENTERA BN PERLU TERUSKAN GERAK KERJA HINGGA KEMPEN BERAKHIR

15/08/2024 06:25 PM

GUA MUSANG, 15 Ogos (Bernama) -- Berbaki kurang 48 jam, jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan terus melaksanakan gerak kerja sehingga tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri berakhir 11.59 malam esok.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata setiap pengundi di DUN itu perlu sentiasa dibantu dan disantuni termasuk pada hari mengundi Sabtu ini.

"Alhamdulillah semua berlangsung (kempen) dalam keadaan aman, menunjukkan kematangan demokrasi di negara ini .

"Sepanjang pengalaman saya menyertai kempen PRK sejak tahun 90-an, PRK DUN Nenggiri antara paling harmoni," katanya kepada pemberita selepas meninjau kemajuan kerja fizikal pembaikan cerun di Seksyen 5.8 dekat Kampung Limau Kasturi di sini hari ini.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan Mohd Rizwadi Ismail mewakili PAS.

Kerusi DUN itu kosong berikutan pengumuman Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan