EKONOMI

UNTUNG BERSIH DIALOG GROUP TAHUN KEWANGAN 2024 NAIK KEPADA RM575.03 JUTA

15/08/2024 08:48 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Dialog Group Bhd mencatat keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM575.03 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 daripada RM510.52 juta pada tahun sebelumnya, berikutan pengeluaran yang meningkat daripada aktiviti huluan.

Penyedia perkhidmatan teknikal bersepadu dalam sektor tenaga itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perolehan bagi tahun kewangan 2024 meningkat lima peratus kepada RM3.15 bilion berbanding RM3.00 bilion sebelum ini.

Bagi suku keempat tahun kewangan 2024, keuntungan bersih syarikat menokok kepada RM138.42 juta daripada RM126.78 juta manakala perolehan meningkat kepada RM810.07 juta daripada RM690.04 juta sebelumnya.

Dialog Group berkata aktiviti semasa terus menyumbang kepada aliran perolehan dan keuntungan yang stabil daripada operasi Terminal Langsat dan Terminal Pengerang Dialog bagi tahun kewangan semasa.

“Pasukan hiliran masih giat menyiapkan pelbagai projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dan penyelenggaraan loji serta mencatat kerugian pada suku dan tahun kewangan semasa akibat kos projek yang berlebihan.

“Kumpulan berdepan banyak cabaran akibat pandemik COVID-19, konflik di Ukraine dan Gaza, tekanan inflasi, gangguan rantaian bekalan, harga bahan yang lebih tinggi dan kos buruh,” katanya.

Mengenai prospek, Dialog Group berkata kumpulan akan terus mengembangkan perniagaan huluan sedia ada dengan memberi nafas baharu, pembangunan dan pengoperasian medan minyak dan gas.

“Dalam perniagaan hiliran, kami akan terus memanfaatkan kekuatan dan rekod prestasi yang mantap dalam perkhidmatan teknikal bersepadu yang terdiri daripada EPCC, penyelenggaraan loji dan perkhidmatan pengendalian pemangkin, serta produk dan perkhidmatan pakar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan