EKONOMI

MALAYSIA AKAN TEKANKAN PERDAGANGAN INTRA-ASAN SEBAGAI HALA TUJU KE HADAPAN - MITI

15/08/2024 11:20 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 15 Ogos (Bernama) -- Malaysia akan menekankan perdagangan intra-ASEAN sebagai hala tuju ke hadapan bagi rantau Asia Tenggara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

Beliau berkata Malaysia adalah sebuah negara ekonomi terbuka dan menerima perdagangan dan pelaburan sama seperti negara-negara ASEAN yang lain.

“Pada masa ini, perdagangan antara negara-negara ASEAN adalah kira-kira 23-25 ​​peratus, jadi ada peluang untuk meningkatkan jumlah dagangan terutamanya apabila Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi pada 2025,” kata Tengku Zafrul kepada Bernama di sini, Khamis.

Terdahulu, Menteri itu mempengerusikan mesyuarat meja bulat dengan kapten-kapten Industri termasuk wakil daripada PTT Public Company Limited (PCL), CP Axtra PCL dan BASF (Thai) Ltd.

Tengku Zafrul mengetuai misi perdagangan tiga hari Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ke ibu negara Thailand yang turut disertai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Abu Bakar Yusof; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Zalina Zainol dan Pengarah Kanan Bahagian Integrasi Ekonomi ASEAN MITI, Dr S. Sugumari.

Tengku Zafrul berkata Malaysia dan Thailand mendapat manfaat yang besar daripada keahlian mereka dalam ASEAN, yang menggalakkan integrasi ekonomi serantau dengan mengurangkan tarif dan mengharmonikan peraturan perdagangan.

Beliau menambah inisiatif dua hala Malaysia-Thailand yang sedang dijalankan bertujuan untuk meningkatkan perdagangan sempadan, mengembangkan perkongsian ekonomi digital dan mengukuhkan kerjasama dalam sektor utama seperti pertanian dan getah.

"Malaysia mengalu-alukan dan sangat menggalakkan sektor swasta dan pemain industri untuk menyokong inisiatif itu dengan memupuk kerjasama dan memanfaatkan kekuatan satu sama lain bagi mengembangkan perniagaan melangkaui ASEAN, hingga ke pasaran global," katanya.

Secara ekonominya, beliau berkata Malaysia dan Thailand mempunyai industri pelengkap dengan kekuatan Malaysia dalam sektor elektrik dan elektronik, petroleum dan minyak sawit, yang sejajar dengan kekukuhan sektor automotif, jentera dan pertanian di Thailand.

Sinergi ekonomi itu akan meningkatkan dan meluaskan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara, tambahnya.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Thailand dari Januari hingga Jun 2024 bernilai US$11.94 bilion (US$1=RM4.43), turun 6.2 peratus daripada US$12.74 bilion dalam tempoh yang sama pada 2023.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan