BERITA TERGEMPAR   Pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional - PM Anwar | PM Anwar umum pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi | 
 AM

PENJAWAT AWAM SERBU PERKHIDMATAN KALKULATOR GAJI

16/08/2024 02:22 PM

PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Perkhidmatan kalkulator gaji Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) diserbu ratusan penjawat awam yang teruja untuk mengetahui jumlah ‘durian runtuh’ diperoleh selepas SSPA dikuat kuasa pada 1 Dis ini.

Tinjauan Bernama mendapati penjawat awam daripada pelbagai peringkat mula menggunakan perkhidmatan empat papan layar perkhidmatan kalkulator gaji yang disediakan di reruai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-19 (MAPPA XIX) 2024, di sini hari ini

Kalkulator itu merupakan inisiatif JPA bagi memberikan gambaran kenaikan gaji setiap penjawat awam dan jumlah dipaparkan adalah tanpa elaun. 

Anggota polis bantuan Jabatan Perdana Menteri, Abdul Aiman Afiq Abdullah ketika ditemui Bernama berkata perkhidmatan kalkulator itu menyediakan gambaran tepat kenaikan gaji yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kenaikan amat besar, nampak macam sikit (kenaikan) tetapi bila kira di kalkulator ini banyak dah puas hati.

“Perkhidmatan (kalkulator gaji) banyak bantu dan kenaikan gaji ini membantu penjawat awam di peringkat bawahan. Oleh itu, penjawat awam tekad perbaiki skop kerja dan perkhidmatan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Ashrul Md Dom memuji inisiatif JPA yang memperkenalkan kalkulator gaji untuk memastikan penjawat awam mendapat kefahaman yang jelas mengenai kenaikan berkenaan.

“Ia memudahkan penjawat awam kira kenaikan gaji, kalau tengok kertas pembentangan ia agak rumit.

“Kenaikan gaji ini adalah untuk jaga kebajikan penjawat awam tetapi kita kena tambahkan kualiti penyampaian perkhidmatan untuk masyarakat,” katanya. 

Pembantu Operasi Gred 11 di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan Wan Asni Wan Mat berkata pengumuman kenaikan gaji oleh Perdana Menteri perlu dilihat sebagai pendorong untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Kenaikan gaji amat memberangsangkan dan perkhidmatan kalkulator beri gambaran apa yang ingin disampaikan perdana menteri,” katanya.

JPA memaklumkan perkhidmatan kalkulator gaji SSPA itu dijangka boleh diakses di laman web rasmi SSPA dalam masa terdekat.

Terdahulu, Anwar mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan