EKONOMI

POTENSI PEMULA NIAGA YANG DIKENAL PASTI BERI SUMBANGAN BESAR KEPADA EKONOMI - GOBIND

16/08/2024 09:55 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Menteri Digital Gobind Singh Deo menekankan kepentingan untuk mengenal pasti potensi industri syarikat pemula niaga memandangkan ia boleh memberikan sumbangan besar kepada ekonomi.

Beliau berkata terdapat keperluan untuk memastikan penghasilan ekosistem yang sesuai di sekitar industri bagi menyokong pertumbuhan.

“Oleh itu, terdapat keperluan untuk mengubah cara kita berfikir mengenai syarikat pemula niaga. Terdapat keperluan untuk kita memastikan lebih banyak kerjasama supaya boleh memahami keperluan industri.

“Kita juga dapat mengetahui masalah yang dihadapi oleh syarikat pemula niaga dan mendorong mereka untuk kembali dalam kedudukan baik. Kerajaan boleh membantu dengan cara menghimpunkan semua pihak yang diperlukan untuk membolehkan mereka berkembang dan akhirnya berjaya,” katanya selepas merasmikan PACE Bootcamp di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Gobind berkata Kuala Lumpur telah diiktiraf sebagai antara 30 teratas bagi ekosistem yang sedang membangun dalam Laporan Ekosistem Syarikat Pemula Niaga Global 2024, menjana nilai ekosistem melebihi RM220 bilion dalam tempoh tiga tahun lepas.

Menurutnya kedudukan kukuh itu menyerlahkan kejayaan negara untuk memupuk persekitaran yang aktif bagi syarikat teknologi, syarikat pemula niaga dan pelabur.

“Persekitaran yang kita harungi pastinya mencabar. Kita menyaksikan kemajuan teknologi yang pesat, mengubah tingkah laku pengguna dan persaingan global yang sengit.

“Bagaimanapun, dalam mengharungi cabaran ini, terdapat peluang besar, dan syarikat pemula niaga dan PKS negara dalam kedudukan terbaik untuk memanfaatkannya,” kata beliau.

Gobind berkata Malaysia mempunyai elemen untuk menjadi hab pembangunan kecerdasan buatan (AI) berikutan ia terus menarik gergasi teknologi global seperti Google untuk mewujudkan pusat data.

Sehubungan itu, Kementerian Digital telah berusaha untuk menarik modal teroka (VC) asing, mendorong penubuhan syarikat teknologi asing tempatan dan memperkukuh ekosistem teknologi di rantau ini untuk merapatkan jurang antara syarikat peringkat awal dan pelabur global.

Sementara itu, PACE Bootcamp merupakan inisiatif oleh Artem PACE, anak syarikat Artem Ventures, bagi menyokong dan mendorong usahawan merentas industri berbeza menerusi pelaksanaan bengkel, sesi bimbingan dan aktiviti berkaitan.

Program selama 10 minggu itu menawarkan pengalaman pembelajaran yang terperinci mengenai aspek berbeza antaranya AI untuk pertumbuhan perniagaan, penskalaan produk dan perancangan kewangan, dengan kesemuanya dihasilkan untuk terus dimanfaatkan dalam mengharungi perjalanan keusahawanan mereka.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan