SUKAN

TERENGGANU DIIKAT SRI PAHANG 1-1

17/08/2024 12:28 AM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) gagal memanfaatkan bermain di laman sendiri apabila diikat Sri Pahang FC 1-1, pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam ini.

Babak pertama menyaksikan pasukan tuan rumah terlebih dahulu menguji gawang lawan melalui sepakan percuma yang diambil Marin Pilj seawal minit kelima, namun percubaan berjaya digagalkan penjaga gol Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri yang menangkap kemas bola.

Bagaimanapun selepas lima minit, perlawanan berlangsung perlahan dengan bola berlegar di bahagian tengah dan tiada percubaan berbahaya dihasilkan kedua-dua pasukan.

Buntu tanpa jaringan, skuad bimbingan Fandi Ahmad bangkit mengatur serangan dan beroleh peluang pada minit ke-32, namun rembatan Mykola Ahapov berjaya ditepis penjaga gol Suhaimi Husin.

Usaha berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Terengganu berjaya mendahului menerusi Nurillo Tukhtasinov, yang melakukan rembatan luar kotak penalti pada minit ke-45.

Bersambung babak kedua, Terengganu terus mendahului permainan sehingga masa kecederaan perlawanan, namun mereka gagal mendapat tiga mata apabila Sri Pahang menyamakan kedudukan menerusi tandukan Stefano Brundo sebelum wisel penamat dibunyikan. 

Sementara itu, aksi di Stadium Majlis Pembandaran Selayang menyaksikan pasukan PDRM mengecewakan Kuala Lumpur City (KL City) 2-1.

Pasukan PDRM di bawah kendalian Azzmi Ab Aziz dilihat lebih mendominasi permainan seawal minit perlawanan, sebelum membuka tirai jaringan menerusi Ifedayo Olusegu yang tenang meleret bola ke dalam gawang selepas menerima hantaran daripada Bruno Suzuki, pada minit kesembilan.

Skuad City Boys di bawah bimbingan Miroslav Kuljanac bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan menerusi Jovan Motika pada minit ke-51, sebelum Fadi Mahmoud Awad meledak jaringan kedua skuad Hobin Jang Hobin pada minit ke-65.

Keputusan perlawanan malam ini menyaksikan Terengganu kekal berada di tangga ketiga carta Liga Super dengan 15 mata, manakala Sri Pahang di tangga kesembilan (tujuh mata), selain PDRM naik satu anak tangga (11 mata) dan KL City di tangga kesebelas (lima mata).

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan